Ahad, 11 April 2021 | 3:56pm
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) melancarkan perkhidmatan tren Diesel Multiple Units (DMU) dari Stesen Wakaf Bharu ke Stesen Pasir Mas sebelum Majlis Pelancaran tren Diesel Multiple Units (DMU) - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) melancarkan perkhidmatan tren Diesel Multiple Units (DMU) dari Stesen Wakaf Bharu ke Stesen Pasir Mas sebelum Majlis Pelancaran tren Diesel Multiple Units (DMU) - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Isu ekzos bising perlu ditangani bersama - Wee Ka Siong

PASIR MAS: Semua agensi diminta untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani kesalahan mengubah suai ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau juga meminta Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan melihat kembali kesan masalah ekzos bising kepada masyarakat.

Katanya, ini berikutan bunyi ekzos bising mengganggu ketenteraman awam.

"Saya menyarankan semua agensi kerajaan berkaitan untuk sama-sama melihat semula kaedah terbaik bagi menangani kesalahan mengubah suai ekzos sehingga bunyi bising.

"Masyarakat menyalahkan Kementerian Pengangkutan berhubung penjualan ekzos yang diubah suai di pasaran, namun perkara ini di luar bidang kuasa kementerian.

"Kita minta seluruh ekosistem perlu dilihat kembali, ada yang mengatakan penjualan ekzos bising patut diharamkan, tetapi ia tidak berada dalam bidang kuasa kita, mungkin membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Keretapi Pasir Mas.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pemilik kenderaan yang masih berdegil menggunakan ekzos bising jika mereka tidak mengubah bunyi ekzos selepas mendapat notis temu janji advokasi.

"Tindakan itu bertujuan memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan (ekzos bising) supaya tidak mengulangi kesilapan itu pada masa hadapan.

"Setakat ini, pemilik kenderaan yang masih menggunakan ekzos bising hanya dikenakan pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114. Pemilik kenderaan hanya perlu menghadiri sesi siasatan yang ditetapkan JPJ.

"Apabila notis terbabit dikenakan, pemilik kenderaan perlu hadir ke JPJ untuk sesi temu siasat. Kementerian mengambil serius perkara itu selepas menerima pelbagai aduan dari orang ramai.

"Ramai memaklumkan terganggu dengan bunyi ekzos bising terutama pada waktu malam sehingga mengganggu tidur mereka," katanya.

Berita Harian X