Ahad, 11 April 2021 | 1:33pm

Mahu hidup bergaya melebihi kemampuan punca terjebak rasuah

ISU rasuah dan salah guna kuasa ibarat tiada kesudahan dengan terkini, pembongkaran kartel tender projek kerajaan. Ia mencetus kebimbangan masyarakat terhadap sejauh mana ia sudah membarah termasuk pembabitan penjawat awam. Wartawan BH, Ilah Hafiz Aziz mendapatkan reaksi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Soalan (S): Boleh jelaskan sejauh mana kedudukan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kakitangan awam. Apakah ia serius dan membimbangkan?

Jawapan (J): Beberapa tahun ini, kita memang gusar memandangkan separuh daripada mereka ditahan bagi kesalahan rasuah dan salah laku ialah penjawat awam. Untuk mengatakan ia serius, setiap mereka terbabit rasuah adalah serius dan memang menggusarkan apabila aktiviti ini dikaitkan dengan penjawat awam.

Setiap tahun kita cuba memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tetapi apabila pembabitan penjawat awam dalam rasuah tinggi, persepsi ini terjejas kerana indikasi utama dilihat ialah kakitangan awam.

Oleh itu, kita mewujudkan pelan antirasuah dalam usaha menanganinya dalam kalangan penjawat awam. Pelan ini dibangunkan untuk memfokuskan bahagian perolehan termasuk tangkapan kartel projek dilakukan SPRM, baru-baru ini.

Isu di bahagian perolehan memang banyak berlaku kerana di situ terdapat peluang memberi dan menerima rasuah yang menjadi tumpuan mereka mahu mendapatkan tender kerajaan. Proses yang ada membuka peluang untuk terdedah kepada rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil. - NSTP/Aswadi Alias
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil. - NSTP/Aswadi Alias

S: Melalui siasatan dan risikan, apa sebenarnya punca penjawat awam mudah terjebak rasuah?

J: Punca sebenar banyak tetapi satu daripadanya berkaitan gaya hidup atau cara hidup mewah. Mereka (yang menerima rasuah) ini mahu bermegah-megah dengan kehidupan sebenarnya yang tidak mampu.

Sebagai contoh, mahu memiliki kereta besar seperti Toyota Alphard dan Vellfire sedangkan untuk memberi komitmen setiap bulan tidak mampu. Setahun dua kerja mahu pakai Honda City atau Civic tetapi pendapatan setiap bulan 'cukup-cukup makan' sahaja. Begitu juga mahu pakaian berjenama sahaja.

Mereka ini mahu hidup melebihi kemampuan hingga terjebak dengan salah laku rasuah dan mengkhianati tanggungjawab diamanahkan.

Namun, ada juga terjebak aktiviti tidak baik antaranya perjudian. Apabila sudah ketagih tetapi kehabisan wang untuk berjudi, mereka akan mencari 'lubang' lain untuk memperoleh dana.

Cara paling mudah, terbabit rasuah. Situasi ini akan mudah jika mereka dalam bahagian perolehan atau sensitif dalam jabatan kerajaan.

S: Ramai mengaitkan gaji kecil khususnya penguat kuasa sebagai antara penyebab terjebak rasuah khususnya di bandar besar. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Isu gaji kecil dalam kalangan penjawat awam sudah lama dibincangkan sejak kewujudan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan ia bukan satu isu utama.

Mereka ditahan hari ini kebanyakannya pegawai tinggi atau kanan berjawatan pengarah, bukannya peon atau kerani yang kita tahu mempunyai gaji lebih kecil. Apakah mereka berjawatan dalam kerajaan ini bergaji rendah?

Aktiviti ini berlaku disebabkan kurang ketahanan diri mengambil rasuah. Jika tanya ramai pegawai kerajaan, sudah tentu mereka akan mengatakan boleh 'survive' walaupun tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Ini tidak, mereka mahu duduk di rumah besar, apartmen lima bintang, pakai kereta mewah. Jika perbelanjaan sedemikian, sudah pasti ia tidak akan pernah cukup.

S: Dalam kes membabitkan kelulusan tender/ kontrak, bagaimanakah modus operandi pihak luar mendekati penjawat awam terbabit?

J: Sebelum memberi rasuah, sudah tentu 'pemberi' akan memeriksa latar belakang atau sikap penjawat awam dahulu. Mereka selidik apa disukai penjawat awam itu, termasuk hobi.

Jika suka berhibur, penjawat awam ini akan disogok pelbagai aktiviti hiburan seperti karaoke. Jika suka main golf, mereka diajak melakukan aktiviti itu. Merokok sekalipun, mereka akan turut serta dengan pelbagai cara seperti mengajak minum teh atau 'coffee session.'

Ia seperti mengajak sedikit demi sedikit sebelum agenda seterusnya diteruskan. Apa sahaja kepentingan penjawat awam itu akan diikuti pemberi rasuah.

SPRM juga mengesan antara taktik biasa digunakan, menaja percutian sama ada menghadiahkan tiket penerbangan atau penginapan di hotel mewah.

Aktiviti meminta rasuah atau memudahkan urusan akan berlaku selepas itu dan apabila sudah rasa terikat atau terhutang budi, mereka ini akan 'menolong.'

Sesiapa sahaja dalam kalangan penjawat awam boleh melakukan rasuah sekiranya tidak mempunyai integriti. - NSTP/Danial Saad
Sesiapa sahaja dalam kalangan penjawat awam boleh melakukan rasuah sekiranya tidak mempunyai integriti. - NSTP/Danial Saad

S: Setiap kali serbuan, siasatan mendapati kegiatan sudah lama berlaku atau bertahun-tahun berlarutan. Apakah disebabkan ia 'budaya' semakin diterima?

J: Perkara kami lihat kebelakangan ini, hanya segelintir bersungguh-sungguh menggerakkan peranan membanteras rasuah. Tidak semua ketua jabatan mahu menggerakkan peranan itu walaupun hanya untuk memantau kakitangan mereka.

Apabila melihat kakitangan memakai kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Lamborghini atau Ferrari atau perkara melebihi kemampuan, takkanlah seorang ketua jabatan tidak lihat dan ragui. Seorang ketua pasti tahu kemampuan anak buah mereka.

Mereka tiada inisiatif untuk dedah. Apabila kegiatan itu didedahkan, barulah mereka mahu memberikan maklumat. Sepatutnya perkara ini boleh dilakukan lebih awal sama ada mengambil tindakan di peringkat dalaman atau menjadi 'whistleblower' kepada kami.

Negara ada seramai 1.6 juta penjawat awam, SPRM tidak akan boleh menyiasat setiap mereka.

S: Kebanyakan kes dibongkar membabitkan tangkapan besar-besaran menunjukkan rasuah membabitkan segenap peringkat, daripada kakitangan bawah hingga peringkat atasan. Benarkah dakwaan rasuah berlaku disebabkan pihak atasan merestui seperti pembongkaran rasuah membabitkan kakitangan agensi penguat kuasa di Pulau Pinang?

J: Sesiapa sahaja dalam kalangan penjawat awam boleh melakukan rasuah sekiranya tidak mempunyai integriti. Malah, ia bergantung kepada ruang dan peluang, tidak kira ketua jabatan atau kerani.

Ia berkaitan sikap dan integriti seseorang kerana ada bahagian, tidak memerlukan ketua jabatan atau Ketua Setiausaha kementerian untuk meluluskan tender. Ada jabatan hanya bergantung kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa dilantik.

Contohnya, kes kartel terbaru berlaku disebabkan ada pegawai kerajaan membocorkan maklumat kepada kontraktor. Maklumat seperti harga tender dan harga siling diketahui kontraktor untuk mendapatkan projek. Ia tidak diketahui jawatankuasa dilantik pun.

Had tempoh jawatan sensitif elak bina 'empayar'

S: Apakah tidak cukup pelbagai usaha dilakukan selama ini untuk membanteras rasuah seperti memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR), penubuhan unit integriti, Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan?

J: Sebagai agensi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan rasuah, SPRM mempunyai pelbagai program untuk semua peringkat masyarakat tetapi persoalannya apakah pendedahan ini mencukupi kepada 1.6 juta penjawat awam atau semua masyarakat.

Setiap tahun, kita hanya mampu cover antara 200 hingga 300 individu sahaja dalam program bersemuka. Ini sememangnya kekangan untuk SPRM terbabit dalam semua perkara.

Oleh itu, kita mahukan peringkat dalaman kerajaan memainkan peranan supaya sentiasa berusaha menyebarkan peringatan mengenai rasuah kepada kakitangan.

Jangan hanya tunggu SPRM datang mengadakan program kerana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam perkara ini.

Malah dengan adanya program Pelan Antirasuah Organisasi, ia amat membantu setiap bahagian dan jabatan memperkasakan integriti kakitangan mereka. Apapun, sekiranya ketua jabatan berminat untuk mencegah, semua perkara akan mudah.

S: Kerajaan memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan melaksanakan pelbagai mekanisme memudahkan serta melindungi penjawat awam sampaikan maklumat, tetapi mereka masih bimbang kesan diterima termasuk ditukar atau 'dipetisejukkan.' Apa pandangan Datuk Seri?

J: Kita kena faham untuk menjaga keselamatan semua pihak, ia bukan tanggungjawab SPRM sahaja malah semua agensi penguatkuasaan. Sekiranya berlaku isu pemberi maklumat dianiaya, saya menyeru mereka laporkan kepada agensi penguatkuasaan supaya tindakan diambil.

Jangan setakat bercakap tetapi tidak mahu mengambil tindakan langsung dan mengakibatkan rasuah berleluasa.

Dalam kes SPRM pula, kita melindungi whistleblower, malah masih ada kes individu cuba membawa bencana kepada pemberi maklumat dituduh di mahkamah dan kes itu masih berjalan lagi.

S: Sejauh mana pelaksanaan pusingan kerja bagi pegawai awam di jawatan sensitif dapat menutup pintu kepada usaha merasuah mereka?

J: SPRM amat bersetuju dengan cadangan Ketua Setiausaha Negara kerana sejak 1998 lagi kita kesan mereka berada di hot seat atau jabatan sensitif boleh memanipulasi sistem dengan mudah sekiranya terlalu lama di situ hingga tiada 'semak dan imbang' dilakukan terhadapnya.

Kita cadangkan mereka berada di situ hanya dalam tempoh setahun dua bagi mengelakkan boleh membina 'empayar,' malah orang luar juga tidak boleh kenal terlalu lama.

Kita bersetuju pusingan kerja ini kerana siasatan mendapati mereka boleh memanipulasi sistem diguna pakai kerajaan, malah akan ada ramai 'kenalan' mahu dipergunakan atau digunakan.

S: Ada saranan supaya kerajaan memasukkan peruntukan 'salah laku penjawat awam' mengakibatkan kerugian wang besar ditanggung kerajaan. Apa pandangan?

J: Perkara ini sebenarnya bukan isu baharu, malah sudah dibincangkan sejak 2010 lagi, tetapi masih tertangguh. Sebagai contoh, sejak dahulu kita sudah mengadakan perbincangan derma politik, tetapi ketika ini, ia masih belum ada.

Oleh itu, kita mengalu-alukan penggubal undang-undang mewujudkan peruntukan ini kerana apa yang dilihat, masih ramai tidak takut untuk melakukan rasuah.

Berita Harian X