Jumaat, 9 April 2021 | 9:07pm
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar. - Foto Google
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar. - Foto Google

Suami isteri mati tinggalkan nota 'maafkan saya'

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditemui mati bersama isterinya seorang warga Thailand, dipercayai membunuh diri akibat masalah kewangan di kediaman mereka di Jalan Medang Serai, Bangsar, di sini, tengah hari tadi.

Mayat mangsa lelaki berusia 46 tahun dan isterinya 38 tahun, ditemui seorang ejen hartanah yang menghubungi mangsa berkali-berkali namun tidak dijawab sebelum mengambil keputusan pergi ke kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata ejen hartanah itu dilaporkan mengambil kunci kediaman dari pemilik rumah sebelum pergi ke kediaman yang ditempah mangsa menggunakan aplikasi dalam talian bagi tujuan sewaan pada 6 April lalu.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah teres tiga tingkat itu ejen terbabit menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur sebelum menghubungi polis.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati bahawa pasangan berkenaan membakar arang di dalam bilik, menutup pintu dan tingkap dan terus tidur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan kedua-dua mangsa dipercayai mati antara jam 6 hingga 7 pagi hari ini berkemungkinan akibat sesak nafas kerana menghidu asap.

"Turut ditemui di tempat kejadian adalah satu nota dipercayai daripada mangsa lelaki yang meminta maaf kepada pihak yang ingin mendapatkan bayaran hutang darinya dan kita percaya dia bertindak sedemikian kerana mempunyai masalah kewangan.

"Pihak polis juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini selain terdapat saksi yang rapat dengan pasangan terbabit mendakwa mangsa tidak mempunyai musuh,"

"Bagaimanapun siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat dan siasatan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Berita Harian X