Jumaat, 9 April 2021 | 3:40pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, (tengah) bersama Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Sdn Bhd, Leonard Ariff Abdul Shatar, (kanan) pada Pelancaran Jualan Seni Ciptaan Kanak-kanak Autisme di Jalan SA15/2A, Subang Jaya, hari ini. - Foto AZHAR RAMLI
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, (tengah) bersama Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Sdn Bhd, Leonard Ariff Abdul Shatar, (kanan) pada Pelancaran Jualan Seni Ciptaan Kanak-kanak Autisme di Jalan SA15/2A, Subang Jaya, hari ini. - Foto AZHAR RAMLI

Dua minggu lagi tentukan penggunaan vaksin AstraZeneca - KJ

SUBANG JAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bermesyuarat dua minggu lagi untuk berbincang sama ada Malaysia akan kekal dengan pendirian menggunakan vaksin COVID-19 AstraZeneca atau sebaliknya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata dalam mesyuarat itu, panel pakar Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan maklumat terbaharu mengenai vaksin itu, berdasarkan data dikemukakan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).

"Kita ambil maklum keputusan dan pengumuman EMA yang menunjukkan kaitan antara penggunaan vaksin AstraZeneca dan kes pembekuan darah, iaitu pertama kali kaitan secara langsung disahkan.

"Kedudukan kita sekarang selepas pengumuman EMA ialah untuk membincangkan semula pendirian dalam JKJAV yang akan bermesyuarat dua minggu lagi.

"Kita akan dengar maklumat tambahan yang akan dibentangkan oleh panel pakar KKM berdasarkan maklumat terkini yang kita dapat daripada EMA, sebelum kita membuat sebarang keputusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kelmarin, Jawatankuasa keselamatan EMA (PRAC) membuat kesimpulan bahawa pembekuan darah luar biasa dengan platelet darah rendah harus disenaraikan sebagai kesan sampingan Vaxzevria (vaksin COVID-19 AstraZeneca) yang sangat jarang berlaku.

Bagaimanapun, PRAC turut berpandangan manfaat vaksin AstraZeneca untuk mengawal jangkitan COVID-19 kekal melebihi risiko kesan sampingan daripada penggunaannya.

Justeru, Khairy memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak perlu gusar dengan pengumuman EMA kerana Malaysia masih belum menerima bekalan vaksin AstraZeneca, sekali gus belum mengagihkannya.

"Saya harap rakyat tidak rasa gusar kerana kita belum lagi terima sebarang penghantaran daripada AstraZeneca dan belum digunakan lagi di Malaysia.

"Kita hanya dijadual menerima vaksin AstraZeneca bulan hadapan. Jadi ada masa yang cukup untuk JKJAV membuat keputusan, sama ada akan teruskan penggunaan AstraZeneca atau tidak," katanya.

Berita Harian X