Jumaat, 9 April 2021 | 2:34pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berbual bersama penunggang P-Hailing selepas berucap pada majlis Kempen Keselamatan Penunggang p-hailing di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berbual bersama penunggang P-Hailing selepas berucap pada majlis Kempen Keselamatan Penunggang p-hailing di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Jumlah kes kemalangan babitkan penunggang p-hailing membimbangkan

PUTRAJAYA: Statistik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 7,525 kes kemalangan jalan raya dilaporkan sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata daripada jumlah itu 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dan dua pertiga daripadanya adalah mereka yang berkhidmat dalam p-hailing.

Katanya, jumlah itu sangat membimbangkan terutamanya ketika pelaksanaan PKP kerana ketika itu tidak ramai pengguna jalan raya dan sepatutnya kemalangan tidak seharusnya berlaku.

"Untuk tahun lalu sahaja, dianggarkan 12 kes kematian sehari, manakala pada tahun sebelumnya iaitu 2019 ialah 18 kes kematian sehari.

Jumlah yang dilaporkan pada tahun lalu tidak kecil hampir dua pertiga dan ada ketika jumlah kes kematian pada ketika itu lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan kematian disebabkan oleh COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya P-Hailing di pusat membeli- belah IOI City Mall Putrajaya, di sini hari ini.

Ketika ditanya, adakah kes kemalangan itu berlaku disebabkan penunggang p-hailing mengejar masa untuk menghantar barangan yang dikirim, Ka Siong berkata itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana isu keselamatan lebih penting.

"Antara kesalahan jalan raya yang kita lihat ialah langgar lampu isyarat, itu tidak boleh digunakan sebagai alasan nak cepat.

"Jika lampu merah kena berhenti kerana ia akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Tambah Ka Siong, berikutan itu kerajaan mengambil beberapa inisiatif dan langkah proaktif untuk mendidik serta mengubah sikap semua penunggang yang terbabit.

"Kempen keselamatan penunggang p-hailing ini akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dan antara yang dirancang ialah mengadakan siri jelajah untuk hebahan untuk penunggang p-hailing.

"Selain itu mesej keselamatan jalan raya akan muncul dalam aplikasi yang digunakan oleh pengendali dan mesej itu juga akan diterima setiap kali penunggang p-hailing menerima pesanan," katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menasihatkan penunggang p-hailing untuk mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

"Dengan caruman serendah RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun, pelbagai faedah perlindungan disediakan di bawah skim ini termasuklah dari segi perubatan, faedah hilang upaya kekal dan faedah tanggungan.

"Jadilah individu yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tapi kepada ahli keluarga, anak dan waris," katanya.

Berita Harian X