Jumaat, 9 April 2021 | 1:25pm

14 didakwa terbabit Geng Nicky

PETALING JAYA: Seramai 14 individu termasuk empat warga China, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky disyaki diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Tertuduh berkenaan ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Wong, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li dan Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming.

Wei Kin dan Wei Loon adalah adik kepada Nicky.

Empat warga China yang turut didakwa ialah Huang Lei dan isterinya, Wang Yu Jun; Gu Xing Qiong serta Jiang Xue.

Masing-masing hanya menjawab 'faham' dan tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh itu sebaik saja pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Nicky di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, antara 1 Januari 2017 hingga 20 Mac 2021.

Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kim Ming pula didakwa membantu Geng Nicky di kawasan sama antara 1 Januari 2017 hingga 29 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, memohon jaminan tidak diberikan kepada semua tertuduh mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana membabitkan kesalahan keselamatan dan serius.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan dalam masa tiga bulan bagi mendapat arahan lanjut dan izin pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

"Kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas mendapat izin daripada pendakwa raya mengikut Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan juga memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Nicky dan isterinya, Niu Zhe yang merupakan warga China, berikutan gagal dikesan hingga kini.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua individu itu.

Mahkamah turut menolak permohonan kesemua tertuduh untuk diikat jamin, dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, semua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan polis dari Lokap Jinjang, dekat sini, dan diiringi beberapa kenderaan polis, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Semua tertuduh itu meliputi lima wanita, kemudian dibawa masuk ke bangunan mahkamah dalam keadaan bergari.

Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Seramai 14 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X