Rabu, 7 April 2021 | 10:07am
Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) menyampaikan bantuan perkapita kepada pengurusan sekolah dan institusi pendidikan tahfiz Negeri Sembilan disaksikan Mohamed Husein (kiri) dan Mohd Zaidi Ramli (dua dari kanan) di Seremban, semalam. -Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) menyampaikan bantuan perkapita kepada pengurusan sekolah dan institusi pendidikan tahfiz Negeri Sembilan disaksikan Mohamed Husein (kiri) dan Mohd Zaidi Ramli (dua dari kanan) di Seremban, semalam. -Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

RM2.5 juta bantu perkukuhkan institusi pendidikan Islam

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada sekolah dan institusi tahfiz di negeri itu tahun ini, dalam usaha memperkukuhkan lagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di samping meringankan beban institusi berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jumlah itu sebahagian daripada peruntukan RM9.9 juta yang ditetapkan khusus dalam bidang pendidikan melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan akhir tahun lalu.

Katanya, peruntukan berkenaan akan dapat memberi manfaat kepada sebanyak 203 sekolah dan institusi pendidikan Islam membabitkan seramai 1,753 murid di seluruh negeri ini.

"Kerajaan negeri memberi perhatian yang tinggi terhadap aspek pendidikan sebagai teras pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

"Kita yakin dan percaya, melalui institusi pendidikan Islam yang dinamik, mampu melahirkan generasi Islam yang bukan sahaja beriman, tetapi mampu berkembang dan berdakwah dalam menghadapi arus kemodenan serta urbanisasi.

"Malah, usaha bagi pembinaan akhlak dan peribadi insan terbaik perlu diberikan perhatian serius bagi melahirkan generasi seimbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Kepada Institusi Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) 2021, di Klana Resort di sini, petang semalam.

Yang turut hadir Pengerusi MAINS, Datuk Mohamed Husein dan Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli.

Aminudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Islam negeri berkata, pihaknya turut memperuntukan sebanyak RM2 juta tahun ini bagi melaksanakan kerja menaik taraf asrama Rumah Negeri Sembilan di Kaherah, Mesir.

"Ia bertujuan memastikan pelajar dari kalangan anak Negeri Sembilan yang sedang menuntut di Kaherah di bawah tajaan MAINS mendapat kemudahan dan keselesaan ketika belajar," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengekalkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta sebagai tambahan elaun bulanan, dengan kadar di antara RM50 hingga RM100 sebulan kepada guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) tahun ini.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi menghargai usaha dan pengorbanan seramai 1,862 guru KAFA sekali gus memberi kelegaan kepada mereka.

"Kerajaan negeri berharap melalui peruntukan pembangunan insitusi pendidikan Islam ini akan membantu dalam usaha kita untuk menjadikan pendidikan teras kepada pembangunan masyarakat majmuk yang bersatu hati serta bertoleransi, dapat tercapai," katanya.

Terdahulu beliau turut melancarkan Standard Kualiti Pendidikan Islam Negeri Sembilan (SKPiNS), bagi penarafan standard kualiti sekolah agama di Negeri Sembilan.

Berita Harian X