Selasa, 6 April 2021 | 4:37pm

Ujian rintis IMBRT tiga bulan

ISKANDAR PUTERI: Ujian rintis Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) selama tiga bulan akan dilancarkan secara rasmi Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad Khamis ini.

Ia akan menjadi penyelesaian isu pengangkutan awam di Johor sekali gus menjadi model pembangunan sistem pengangkutan bersepadu negara, menawarkan pengangkutan awam yang menyeluruh, mesra alam selain membantu ekonomi golongan sasar.

Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar, berkata sebanyak sembilan syarikat pengeluar bas tempatan dan antarabangsa akan terbabit dalam ujian rintis berkenaan, yang bertujuan menguji laluan sekali gus menentukan jenis bas yang bersesuaian.

Ujian berkenaan akan menggunakan sistem pengangkutan inovatif dengan bas teknologi hijau dan bakal dilaksanakan di sekitar kawasan Iskandar Malaysia.

 Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar ketika memberi taklimat kepada media yang hadir ketika percubaan Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) sekitar Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Program ujian rintis selama tiga bulan mulai 8 April hingga 8 Julai itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara memiliki perkhidmatan berkenaan.

"Ujian rintis Projek IMBRT mulai Khamis ini adalah bagi jarak sejauh empat kilometer dari Anjung, Medini, Lebuhraya Sultan Iskandar sehingga Horizon Hills.

"Syarikat pengeluar bas terbabit dalam ujian rintis ini juga akan menggunakan teknologi hijau sepenuhnya menerusi bas pandu sendiri, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas yang futuristik.

"Mengikut perancangan, operasi IMBRT dijangka bermula dua tahun lagi iaitu pada 2023, sekali gus mengubah landskap pengangkutan Johor dan negara selain menyediakan kemudahan bas sistematik dan lebih selesa kepada pengguna," katanya dalam sesi penerangan kepada media di Anjung, hari ini.

Media turut menaiki bas elektrik Scania sekitar Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Media turut menaiki bas elektrik Scania sekitar Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Dalam sesi penerangan berkenaan, media turut diberi peluang menaiki dan menggunakan bas elektrik keluaran Scania dan bas elektrik dari Mobilus Sdn Bhd.

Media turut dibawa meninjau cara bas elektrik Scania dicas di depoh bas Iskandar Puteri selain menaiki bas futuristik Mobilus yang mana reka bentuk sama seperti Transit Aliran Ringan (LRT), dengan tiga gerabak.

Bulan lalu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, dilaporkan berkata program rintis IMBRT itu penting bagi menentukan sistem serta kecekapan perkhidmatan berkenaan serta membolehkan pengawal selia memberikan keputusan akhir.

Media turut menaiki bas elektrik Scania sekitar Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Media turut menaiki bas elektrik Scania sekitar Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Ismail dilaporkan berkata, kos pelaksanaan projek IMBRT adalah sekitar RM2.56 bilion yang dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion, manakala bakinya adalah menerusi kerjasama swasta-awam bernilai RM1.56 bilion.

IMBRT dijangka mempunyai liputan rangkaian sepanjang 2,051kilometer (km) yang terdiri daripada 63km (Trunk Line), 1,247km (Direct Line) dan 741 km (Feeder Line), yang membabitkan pelbagai laluan.

Tiga laluan utamanya membabitkan kawasan Iskandar Puteri, Skudai dan Tebrau dengan 33 stesen serta sebuah terminal utama, dijangka akan mula dibina menjelang akhir tahun ini.

Bas IMBRT adalah projek pembangunan sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Bas IMBRT adalah projek pembangunan sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X