Ahad, 4 April 2021 | 7:10am
Bas ekspres dari Kulim ke Kuala Lumpur terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan selepas Terowong Menora. - Foto ihsan JBPM
Bas ekspres dari Kulim ke Kuala Lumpur terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan selepas Terowong Menora. - Foto ihsan JBPM

14 cedera bas terbalik

IPOH: Empat belas individu termasuk pemandu cedera apabila bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, selepas Terowong Menora, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian itu membabitkan 11 lelaki dan tiga wanita berusia antara 14 hingga 59 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata panggilan kecemasan diterima jam 2.22 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi.

14 mangsa yang cedera dikeluarkan anggota bomba selepas sebuah bas ekspres terbabas di Kilometer 265, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan iaitu selepas Terowong Menora, awal pagi tadi. - Foto JBPM Perak

Bomba sedang mengeluarkan 14 mangsa yang cedera apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik, di Kilometer 265, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, iaitu selepas Terowong Menora, awal pagi tadi. - Foto JBPM Perak

Katanya, bas ekspres berkenaan terbabas sendiri di bahu jalan ketika dalam perjalanan dari Kulim menghala Kuala Lumpur, tanpa pembabitan kenderaan lain.

"Bomba mengeluarkan kesemua mangsa daripada bas berkenaan termasuk menggunakan katil pengusung dan memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat berakhir jam 4.39 pagi.

Difahamkan kejadian berlaku ketika bas sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora.

Bomba mengeluarkan 14 mangsa yang cedera apabila sebuah bas ekspres terbalik selepas terbabas di Kilometer 265, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan iaitu selepas Terowong Menora, awal pagi tadi. - Foto JBPM Perak

Berita Harian X