Rabu, 31 March 2021 | 3:47pm
 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto fail NSTP
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto fail NSTP

Permohonan UPUOnline dilanjut hingga 7 April

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan UPUOnline bagi kemasukan ke universiti awam (UA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) sesi akademik 2021/2022 sehingga jam 5 petang 7 April ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan itu diambil kerana kementeriannya prihatin dengan kekangan masa dihadapi pemohon berikutan anjakan masa jadual peperiksaan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta setarafnya.

Susulan itu, katanya, permohonan kemasukan ke UA dan ILKA sesi akademik 2021/2022 boleh dibuat terus di laman sesawang upu.mohe.gov.my sehingga tarikh tutup ditetapkan.

"KPT berharap keputusan ini dapat memberikan kelonggaran masa dan memudahkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Seramai 401,105 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2020 yang dilaksanakan mulai 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Berita Harian X