Rabu, 31 March 2021 | 3:33pm

Bayaran balik pinjaman isi rumah cecah 93 peratus - BNM

KUALA LUMPUR: Bayaran balik pinjaman isi rumah dalam sistem perbankan mencecah 93 peratus pada separuh kedua 2020 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya (tidak termasuk kad kredit).

Ia mencerminkan sebahagian besar peminjam menyambung semula bayaran balik pinjaman, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun BNM berkata, seperti yang dinyatakan dalam penerbitan lalu, golongan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan terus berdepan kesukaran kewangan dengan penampan kewangan yang rendah dan leveraj yang ketara lebih tinggi.

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan-Separuh Kedua 2020 yang dikeluarkan BNM pada Rabu, peminjam berpendapatan kurang RM5,000 sebulan turut menunjukkan beberapa tanda tekanan kewangan seperti yang dilihat daripada profil isi rumah yang mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.

"Peminjam ini berkemungkinan berdepan dengan cabaran yang berterusan pada 2021 memandangkan pemulihan yang tidak sekata dalam pasaran pekerja.

"Bagaimanapun, bank-bank kekal berdaya tahan terhadap risiko daripada sektor isi rumah, walaupun di bawah senario pengangguran dan guna tenaga tidak penuh yang dijangka lebih tinggi, yang menjejaskan lebih ramai peminjam isi rumah," kata BNM.

Menurutnya program bantuan bayaran balik pinjaman oleh institusi perbankan dan langkah bantuan kerajaan terus memberikan sokongan kepada isi rumah yang menghadapi kesukaran, lantas memudahkan aliran tunai mereka sementara mereka pulih daripada kejutan pendapatan dan menghindarkan kerosakan yang lebih teruk terhadap sistem kewangan dan ekonomi.

Menurut laporan itu, keupayaan institusi perbankan menawarkan bantuan kepada isi rumah pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini adalah disebabkan pembentukan penampan yang berhemat semasa ekonomi dalam keadaan baik.

Berikutan berakhirnya moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik, bank-bank terus menawarkan bantuan yang lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan.

Pada Disember 2020, pinjaman isi rumah yang termasuk di bawah pelan bantuan bayaran balik pinjaman berjumlah 8.9 peratus daripada jumlah akaun pinjaman isi rumah atau 11.1 peratus daripada dedahan pinjaman isi rumah terkumpul.

Daripada akaun ini, sebanyak 59 peratus berada di bawah moratorium pinjaman dengan 54 peratus daripadanya terdiri daripada peminjam berpendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Walaupun bantuan bayaran balik pinjaman menyokong keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang buat sementara waktu, pemulihan pendapatan dan penyambungan semula kegiatan ekonomi yang lebih meluas akan menjadi keutamaan supaya peminjam yang berdepan kesukaran kewangan dapat mengekalkan keupayaan membayar balik hutang mereka dalam tempoh jangka panjang.

Dengan langkah-langkah Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar yang masih diteruskan, pinjaman terjejas dan delinkuen isi rumah dalam sistem perbankan hanya meningkat sedikit selepas berakhirnya moratorium pinjaman automatik secara menyeluruh.

Bank-bank terus giat berbincang dengan para peminjam terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan lebih rendah dan sektor pekerjaan yang lebih terjejas seperti hotel, restoran, pengangkutan dan pembinaan untuk memberikan bantuan bayaran balik pinjaman yang sejajar dengan keadaan kewangan peminjam.

Kualiti aset isi rumah dijangka terus menghadapi kemerosotan sepanjang 2021, namun kerugian kredit yang berlaku diunjurkan masih berada dalam lingkungan penampan bank, katanya. – BERNAMA

Berita Harian X