Isnin, 29 March 2021 | 4:26pm

Kerjasama semua pihak perlu bagi kekang COVID-19 - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta semua rakyat berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Baginda bertitah, usaha melawan pandemik COVID-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setia kawan yang erat daripada seluruh masyarakat.

"Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar dan usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring serta sehaluan membina masa hadapan lebih gemilang buat negara dicintai ini.

"Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik COVID-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpah darah kita," titah baginda sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik COVID-19 pada awal tahun lalu, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak dan kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, baginda bertitah, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.

Justeru, baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan pembabitan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan COVID-19.

"Selain itu, inisiatif dikenali sebagai 'Agen Basmi COVID-19' atau 'ABC-19' bakal menyaksikan pembabitan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang berupaya melindungi rakyat daripada jangkitan COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X