Isnin, 29 March 2021 | 2:45pm
 Khairy Jamaluddin pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.- Foto Bernama
Khairy Jamaluddin pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.- Foto Bernama

Kerajaan timbang tetapkan tarikh akhir daftar vaksin

PUTRAJAYA: Kerajaan masih mempertimbangkan kemungkinan penetapan tarikh akhir pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini pihaknya sedang membincangkan kesesuaian melaksanakan cadangan berkenaan.

"Cadangan itu sedang dipertimbangkan dan jika kita dapati ia boleh memberi kesan positif kepada jumlah pendaftaran, maka kita akan buat pengumuman kelak," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan sedang menimbangkan penetapan tarikh akhir pendaftaran mendapatkan vaksin COVID-19 untuk mencapai sasaran 80 peratus daripada 32 juta populasi di negara ini mendapat komuniti kelompok.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, cadangan penetapan tarikh akhir pendaftaran oleh Perdana Menteri itu bagi mempercepatkan proses pendaftaran dan meningkatkan kebolehan CITF membuat unjuran serta perancangan program imunisasi.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya sudah menambah hampir 150,000 lagi petugas barisan hadapan untuk menerima dos vaksin COVID-19 pada fasa pertama program imunisasi itu.

Beliau berkata, pertambahan itu dibuat pada 10 Mac lalu, menjadikan kini seramai 647,398 petugas barisan hadapan didaftarkan untuk menerima vaksin bagi fasa pertama.

"Kita berharap akan dapat memberikan suntikan dos vaksin pertama kepada jumlah tambahan itu dalam masa dua minggu akan datang," katanya.

Beliau berkata, semua petugas barisan hadapan terutama dalam sektor perubatan dan mereka dalam senarai tambahan diharap dapat menerima vaksinasi dalam tempoh berkenaan.

Justeru, katanya, pihaknya berharap pihak hospital, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kesihatan Negeri tidak tertinggal nama yang perlu ada dalam senarai.

"Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk bercakap dengan semua Pengarah Kesihatan Negeri supaya setiap petugas barisan hadapan menerima pelalian masing-masing," katanya.

Berita Harian X