Isnin, 29 March 2021 | 1:25pm

Ngeri kalau ketuk pintu siap picagari, jarum - Khairy

PUTRAJAYA: Kaedah pemberian vaksin dari rumah ke rumah seperti dicadangkan segelintir pihak dikhuatiri bakal mencetuskan tanggapan mengerikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan secara sukarela.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai disediakan saluran tertentu untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin, sebelum diberikan janji temu bagi mendapatkan suntikan pelalian.

"Bayangkan kalau kita ketuk pintu rumah ke rumah, siap dengan picagari dan jarum, ia akan beri mesej yang agak mengerikan, silap-silap orang takut nak buka pintu.

"Justeru, kita utamakan kaedah pendaftaran dari rumah ke rumah dan apabila selesai proses itu, mereka akan dikehendaki untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tertentu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata kaedah pengurusan khas akan disediakan kepada penerima vaksin fasa kedua sekiranya mereka berdepan kekangan tertentu untuk hadir ke PPV.

Seandainya penerima ialah pesakit terlantar, beliau berkata petugas pemberi vaksin atau vaksinator akan hadir ke rumah bagi memudahkan urusan mereka.

"Apabila kita ketuk pintu rumah ke rumah dan melakukan pendaftaran, berkemungkinan ada golongan penerima yang memang berdepan kesukaran untuk pergi ke PPV.

"Maka, kita akan permudahkan dengan beri vaksin kepada golongan sedemikian di rumah, namun saya yakin jumlah sebegini tidak ramai.

"Sebahagian besar boleh pergi mendapatkan suntikan vaksin di PPV yang ditentukan," katanya.

 Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
Berita Harian X