Jumaat, 26 March 2021 | 12:31pm
Gambar hiasan jemaah haji.
Gambar hiasan jemaah haji.

31,600 bakal jemaah haji digesa daftar vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 31,600 bakal jemaah haji tahun ini yang mendapat surat tawaran mengerjakan ibadah itu tahun lalu, digesa segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, berkata ia adalah sebahagian daripada persiapan bakal jemaah sekiranya kerajaan Arab Saudi mengumumkan kebenaran menunaikan haji tahun ini.

"Memandangkan vaksin COVID-19 antara syarat untuk jemaah menunaikan haji, TH menasihatkan semua bakal haji yang sudah menerima surat tawaran haji tahun lalu untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

"Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera atau dalam laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, atau menerusi talian 1800-888-828, seperti disaran Kementerian Kesihatan (KKM).

"TH sedia membantu urusan pendaftaran bakal haji menerusi MySejahtera, khusus untuk mereka yang lanjut usia dan tiada akses internet, dan bakal jemaah hanya perlu menerusi pejabat cawang di seluruh negara ke pejabat cawangan TH di seluruh negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar (Pengurusan Haji) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, dilaporkan berkata vaksin COVID-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

Awal bulan ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, bakal jemaah haji 2021 akan mula diberikan vaksin COVID-19 pada pertengahan Mei depan.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, bakal jemaah haji 2021 juga diminta bersedia mengambil suntikan wajib meningococcal apabila dipanggil KKM, supaya proses pengambil vaksin COVID-19 memenuhi sela masa ditetapkan.

Katanya, walaupun masih belum ada pengumuman rasmi pelaksanaan ibadah haji tahun ini, TH tetap melaksanakan persiapan awal dengan mengambil kira amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasi, sama ada di Malaysia atau Makkah dan Madinah.

Katanya, TH menjangkakan SOP dan protokol kesihatan yang ketat akan dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk musim haji tahun ini, membabitkan penjarakan fizikal di premis penginapan, pengangkutan, pelaksanaan ibadat dan lain-lain.

"Di Malaysia, kita sudah mulakan persiapan di semua stesen berlepas sudah dimulakan, manakala di Makkah dan Madinah, persiapan membabitkan penginapan, pengangkutan, sajian makanan, penerbangan, ibadat haji dan lain-lain.

"TH juga melaksanakan kursus asas haji secara dalam talian yang tamat beberapa minggu lalu sebanyak 13 siri, dan bakal jemaah menyambut baik kaedah baharu ini," katanya.

TH kini memiliki kira-kira 80 hari untuk bersiap sedia sekiranya kerajaan Arab Saudi mengumumkan kebenaran dan perincian pelaksanaan ibadah haji tahun ini, bagi memastikan penerbangan pertama kelak mengikut jadual, yang dijangka pada 11 Jun depan.

Berita Harian X