Jumaat, 26 March 2021 | 11:49am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Penghakiman bertulis isu kalimah Allah diteliti

PUTRAJAYA: Penghakiman bertulis berhubung isu kalimah Allah akan diperhalusi agensi berkaitan bagi merangka tindakan susulan yang lebih tuntas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata hasil munaqasyah atau perbincangan khas berhubung isu berkenaan sudah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Mac lalu.

Sementara menanti maklum balas Majlis Raja-Raja, beliau berkata, pihaknya giat meneliti inti pati penghakiman bertulis isu kalimah Allah menerusi pembabitan pelbagai agensi agama.

"Jadi perlu duduk sekali lagi dengan sahabat-sahabat di samping melihat kerana ketika kenyataan saya pada masa itu, kita hanya berdasarkan pendapat secara umum tetapi belum dapat penghakiman secara bertulis.

"Alhamdulillah, kita sudah dapat dan unit kita akan kaji, tengok dan semak bagi melihat ruang serta tengok sehalus serta seteliti mungkin.

"Sebenarnya (usaha) tetap berjalan (oleh) agensi berkaitan, memfokuskan isu ini dengan lebih tuntas lagi.

"Pada masa sama, kita mengambil pandangan beberapa kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengusulkan untuk membuat satu rayuan yang kita tidak menentang, bahkan menyokong.

"Kita nak tengok ruang-ruang yang boleh kita mainkan seperti mencelah dan kemukakan beberapa alasan kita, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Kumpulan Media Prima Berhad yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid di pejabatnya, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Pengarah Eksekutifnya, Rafiq Razali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima kunjungan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid (empat dari kiri); Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali (tiga dari kiri) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima kunjungan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid (empat dari kiri); Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali (tiga dari kiri) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.

KDN dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Selasa lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menerusi titah baginda menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible, terjemahan bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.

Baginda mengulangi pendirian kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Bagaimanapun, sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God', baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan itu.

Zulkifli turut menjunjung kasih titah Sultan Selangor dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta lain-lain berhubung polemik kalimah Allah.

"Kami mengucapkan terima kasih dan amat memahami atas titah sultan.

"Bagaimanapun, selepas saya dapat semua dengan lebih baik, kenyataan secara lebih khusus untuk difahami akan dikeluarkan yang antara lain menyentuh mengenai langkah dan pandangan berhubung isu seperti ini," katanya.

Berita Harian X