Khamis, 25 March 2021 | 8:41pm

4 keputusan Majlis Air Negara

PUTRAJAYA: Empat keputusan penting dicapai pada Mesyuarat Kedua Majlis Air Negara (MAN) 2021 secara maya, dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sekretariat Majlis Air Negara di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dalam satu kenyataan malam ini, berkata mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Persekutuan, Menteri Besar, Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan serta Agensi berkaitan.

Kenyataan itu menyebut, empat keputusan penting itu adalah Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) disambut baik oleh semua negeri dan kementerian terbabit dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran sungai.

Katanya, Perdana Menteri menyarankan supaya inisiatif pengebilan bersepadu dilaksanakan bagi negeri-negeri yang memberikan persetujuan.

"Namun, Perdana Menteri juga memohon agar negeri lain meneliti dan mempercepatkan persetujuan kerana ia memberi banyak manfaat.

"Berkaitan dengan ini juga, Kerajaan Johor menyatakan persetujuan untuk Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil alih perkhidmatan pembetungan di Majlis Perbandaran Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

"Mesyuarat MAN 2 bersetuju agar semua negeri menggunapakai Garis Panduan JPS 1/97 Kawalan Hakisan Berikutan Pembangunan di Kawasan Pantai dan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) memandangkan isu hakisan pantai dan sungai selalu berlaku disebabkan pengorekan pasir," katanya.

Perdana Menteri juga memohon agar KASA menjalankan sesi libat urus berkaitan Cadangan Penggunaan Kadar Minimum Aliran Ekologi atau Alam Sekitar (E-Flow) Dalam Pengurusan Sungai Di Malaysia dengan negeri untuk memberikan penerangan mengenai pelaksanaan cadangan terbabit.

Kenyataan itu menyebut, Muhyiddin turut menekankan keperluan negara memberi memberi fokus kepada kelestarian bumi (planetary health) dalam aspek perancangan pembangunan fizikal mahupun sosio ekonomi agar mendatangkan impak yang positif kepada rakyat dan alam sekitar.

Berita Harian X