Selasa, 23 March 2021 | 5:28pm
Sultan Ibrahim bertitah pada majlis di Johor Bharu, hari ini, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda. - Foto Royal Press Office
Sultan Ibrahim bertitah pada majlis di Johor Bharu, hari ini, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda. - Foto Royal Press Office

Ahli politik ditegah campuri pentadbiran daerah

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya lantikan ketua kampung di negeri ini diperbetul dan menegah campur tangan ahli politik.

Baginda bertitah, pemilihan ketua kampung di bawah tanggungjawab pegawai daerah dan penghulu, bukannya ahli politik.

"Akhir-akhir ini saya terdengar ada rungutan mengenai pelantikan ketua kampung di Johor yang dipengaruhi oleh parti politik.

"Saya sudah tegaskan dahulu, bahawa urusan pemilihan ketua kampung di bawah tanggungjawab pegawai daerah dan penghulu, bukan orang politik.

"Saya harap perkara ini dapat dibetulkan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Akademi JCS (Johor Civil Servant) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Kerjasama di Pusat Konvensyen PERSADA, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda, hari ini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, kedudukan pegawai daerah lebih tinggi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen.

Titah baginda, sejak dahulu lagi, pegawai daerah dianggap sebagai wakil kepada raja kerana mereka ketua utama bagi pentadbiran kerajaan di peringkat daerah.

"Sebab itu, pegawai daerah yang hendak dilantik akan dipilih oleh saya sendiri.

"Pemimpin politik hanya boleh membawa isu masyarakat tetapi mereka tidak boleh mencampuri urusan pegawai daerah," titah baginda.

Berita Harian X