Isnin, 22 March 2021 | 12:05pm

Datuk Seri didakwa cabul anak sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul dan mengaibkan kehormatan anak gadisnya pada Julai tahun lalu dan Januari tahun ini.

Tertuduh berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja biru dan seluar hitam dilihat hadir ke mahkamah seorang diri.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak kandungnya yang berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Off Jalan Sentul di sini.

Kejadian didakwa berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi, 16 Julai 2020 dan jam 12.45 tengah malam pada 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan mengaibkan kehormatan mangsa sama di dalam kereta Mercedes antara jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi pada 17 Julai tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mohd Josindra berkata, jumlah ikat jamin itu berpatutan memandangkan tertuduh adalah ahli perniagaan berjaya dan memiliki beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam M Puravelan memohon dibenarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan alasan sudah diberikan jaminan polis sejak sebulan lalu selain turut memberikan kerjasama baik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X