Sabtu, 20 March 2021 | 8:58pm
- Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
- Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Kes COVID-19 di Sabah kembali tiga angka

KOTA KINABALU: Sabah hari ini kembali merekodkan kes baharu COVID-19 tiga angka dengan 102 kes dicatatkan berikutan peningkatan mendadak jangkitan di Keningau.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Keningau mencatat 71 kes baharu, menjadikannya daerah paling tinggi kes COVID-19 hari ini, diikuti Tawau sebanyak 10 kes.

Katanya, peningkatan kes di Keningau, menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan operasi semua pasar, pasar malam dan tamu mingguan di daerah itu bermula esok.

"Berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di daerah Keningau, kerajaan negeri memutuskan pasar siang, pasar malam dan tamu di seluruh daerah itu tidak dibenarkan beroperasi berkuat kuasa esok," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu kematian turut direkodkan di Kota Kinabalu hari ini, manakala seramai 41 orang dilaporkan sembuh.

Katanya, seramai 349 pesakit lagi masih menerima rawatan iaitu 139 orang di hospital dan 210 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), termasuk 18 orang yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jumlah itu katanya mewakili 8.06 peratus penggunaan katil daripada 4,329 unit katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di Sabah ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata daripada 102 kes baharu hari ini, sebanyak 43 kes dikesan menerusi saringan kontak rapat, diikuti 42 kes menerusi saringan bersasar dan 10 kes saringan bergejala.

Mengenai kedudukan daerah, katanya hanya empat daerah masih berada dalam zon merah pada hari ini iaitu Keningau, Tawau, Kota Kinabalu dan Nabawan.

Selebihnya, beliau berkata sebanyak tujuh daerah masih dalam zon jingga, manakala sebanyak 13 daerah dalam zon kuning dan zon hijau kekal tiga daerah iaitu Tongod, Semporna dan Kuala Penyu.

"Daerah Kalabakan bertukar daripada zon merah kepada zon jingga, manakala Putatan bertukar daripada zon kuning kepada zon jingga. Tiada kluster baharu direkodkan pada hari ini," katanya.

Berita Harian X