Jumaat, 19 March 2021 | 4:39pm
Vaksin AstraZeneca. - Foto AFP
Vaksin AstraZeneca. - Foto AFP

Vaksin AstraZeneca selamat dan berkesan

KUALA LUMPUR: Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) dan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) mengesahkan vaksin COVID-19 dihasilkan AstraZeneca adalah selamat dan berkesan.

Ketua Pegawai Perubatan AstraZeneca, Ann Taylor dalam satu kenyataan, memaklumkan MHRA hari ini mengumumkan dapatan hasil ujian insiden 'tromboemboli' (darah beku pada pembuluh darah) yang dialami sejumlah kecil daripada lebih 11 juta orang penerima vaksin AstraZeneca di United Kingdom (UK).

"Badan kawal selia UK mengesahkan vaksin itu selamat dan berkesan dalam mencegah COVID-19 serta sama sekali tidak berisiko dan orang ramai dinasihatkan untuk terus mendapatkan vaksin terbabit.

"Selepas melakukan ujian klinikal secara rapi dan teliti, MHRA merumuskan tiada bukti menunjukkan pembekuan darah di pembuluh darah berlaku disebabkan vaksin ini," katanya.

Katanya, ujian terperinci mengenai lima laporan di UK berkaitan pembekuan darah pada urat 'cerebral venous sinus thrombosis', diikuti kejadian penurunan platelet darah (thrombocytopenia) masih dilakukan.

"Daripada satu juta populasi yang divaksin di UK, insiden ini hanya berlaku kepada kurang daripada satu individu dan ia juga boleh berlaku secara semula jadi dengan tiada bukti faktor kejadian itu mempunyai kaitan dengan vaksin.

"Dalam pada itu, Jawatankuasa Penilaian Risiko Farmakovigilance (PRAC) EMA turut merumuskan tiada peningkatan risiko pembekuan darah dengan vaksin AstraZeneca," katanya.

Beliau berkata, PRAC turut merumuskan kejadian 'tromboemboli' serius dan trombositopenia (penurunan platelet darah) adalah sangat jarang berlaku dan tiada bukti ia mempunyai kaitan dengan vaksinasi, namun kajian lanjut perlu dilakukan.

Selain itu, tiada juga bukti kejadian berkenaan mungkin berlaku disebabkan oleh kumpulan vaksin tertentu atau lokasi pembuatan vaksin.

"Syarikat akan terus bekerjasama dengan badan kesihatan untuk memastikan kesesuaian penggunaan vaksin AstraZeneca.

"Syarikat juga akan melaksanakan cadangan digariskan oleh PRAC, termasuk mengemaskini maklumat produk di samping memahami sifat dan kerelevanan semua kejadian yang dilaporkan itu.

"Ia sebagai usaha memastikan pemberian vaksin yang selamat dapat diteruskan ketika tempoh krisis kesihatan awam ini," katanya.

Berita Harian X