Jumaat, 19 March 2021 | 11:22am
Sultan Nazrin Shah berkenan bertitah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak serta Ahli Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, hari ini. - Foto BERNAMA

Ramai belum hayati Islam, mahkamah jadi gelanggang tegak benang basah - Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, banyak pihak memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah sehingga tergamak terus berbohong walaupun sudah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

Titah baginda, mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi yang sering kali pula dibiayai daripada wang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa itu.

Baginda bertitah, keadaan ini memberi gambaran masih ramai yang belum menghayati ajaran Islam sepenuhnya dan terus melakukan dosa secara berulang dengan lebih tanpa gentar terhadap apa yang bakal ditempuhi di alam barzakh dan akhirat nanti.

"Ramai yang tidak takut melakukan dosa dan tidak gentar menghadapi seksa kubur serta azab neraka hingga sanggup melakukan pelbagai jenayah dan memilih mahkamah sebagai gelanggang menegakkan benang basah untuk terus berbohong walaupun sudah melafazkan sumpah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

"Islam lebih dijadikan pakaian luaran dan sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, mereka yang melakukan dosa mencari pelbagai alasan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang berdosa itu

"Sebenarnya, jika menghayati ajaran Islam, individu akan takut melakukan dosa dan jika melakukannya, akan segera bertaubat atau mengaku kesalahannya serta memohon maaf daripada orang yang mereka lakukan dosa.

"Apabila lebih ramai insan menghindarkan diri daripada melakukan dosa, kejadian jenayah akan menurun dan beban kerja di mahkamah akan bertambah ringan," titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak serta Ahli Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, hari ini. - Foto BERNAMA

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan watikah kepada 12 hakim iaitu tiga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Utama Syariah, tujuh sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan masing-masing satu sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah serta Ketua Pendaftar Mahkamah Utama Syariah.

Baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Wan Mohammad Afiq Wan Arisfatillah dan Ezatul Farita Rohawi, selaku ahli MAIPk yang juga mewakili belia.

Pelantikan Ezatul Farita juga bermakna MAIPk kini mempunyai tiga ahli wanita.

Sultan Nazrin bertitah, selain perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai adalah antara perlakuan jenayah terhadap organisasi, syarikat atau kerajaan.

Baginda bertitah, perlakuan jenayah berkenaan turut memberi implikasi perlakuan dosa terhadap pemegang kepentingan entiti berkaitan, sama ada mereka pemegang saham, pemilik syarikat atau rakyat sesebuah negara.

"Perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah dan penjara. Jenayah lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai Islam secara berkesan, sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Watikah Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah kepada Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, hari ini. - Foto BERNAMA

"Menerapkan nilai Islam secara berkesan adalah pendekatan wajib diberikan fokus dan angka jenayah yang rendah perlu dijadikan pengukur kejayaan pendidikan dan penerapan nilai Islam," titah baginda.

Berita Harian X