Isnin, 15 March 2021 | 4:44pm

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong dibuka hari ini

KUALA LUMPUR: Individu yang layak kini boleh memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2021 bermula jam 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, permohonan itu boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

"BYDPA menawarkan 12 biasiswa, iaitu enam untuk pengajian di peringkat sarjana dan enam untuk pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

"Bidang pengajian di bawah penajaan BYDPA ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

"Borang permohonan berserta dokumen sokongan hendaklah dikemukakan dan diterima oleh JPA sebelum atau pada 9 April 2021 (Jumaat), sama ada secara serahan tangan atau pos," kata JPA dalam satu kenyataan, hari ini.

Biasiswa itu layak dipohon oleh rakyat Malaysia berusia tidak lebih 35 tahun pada 1 Januari 2021, dan memiliki Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana yang diiktiraf kerajaan dengan pencapaian akademik amat cemerlang, iaitu CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama, atau yang setaraf dengannya.

Selain itu, pemohon mestilah sudah mendapat tawaran pengajian atau memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

"Pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

"Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut JPA akan di senarai pendek untuk menghadiri temu duga," katanya.

JPA memaklumkan, tiga kumpulan akan diberi keutamaan dalam pemilihan calon penerima BYDPA, iaitu yang mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum atau aktiviti kemasyarakatan; menghasilkan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya, serta mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

"Maklumat lanjut sila layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel kepada penawaranldp@jpa.gov.my," katanya.

Berita Harian X