Isnin, 15 March 2021 | 4:37pm
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto Fail NSTP
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto Fail NSTP

11.7 juta penduduk sudah dibanci

KUALA LUMPUR: Seramai 11.7 juta penduduk negara ini dibanci, setakat semalam.

Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah itu bersamaan 36 peratus perbandingan anggaran 32.7 juta penduduk pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan itu berkata, kaedah bancian dilakukan sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

"Pembancian dalam talian (e-Census dan CATI) sebanyak 59.3 peratus dan secara bersemuka sebanyak 40.7 peratus," katanya dalam siaran langsung taklimat mengenai perkembangan terkini Banci Malaysia 2020, hari ini.

Jika dicerakin penduduk mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk tertinggi berdasarkan respon Banci Malaysia 2020 dicatatkan di Putrajaya iaitu sebanyak 96.2 peratus.

Katanya, ini diikuti Johor (53.4 peratus), Perak (51.2 peratus) dan Perlis, 49.6 peratus.

"Bilangan terendah pula dicatatkan di Sabah (14.3 peratus), Labuan (20.2 peratus) dan Sarawak (21.7 peratus).

"Prestasi negeri-negeri lain ialah Melaka mencatatkan 44 peratus, disusuli Kelantan (43 peratus), Pulau Pinang (42.3 peratus), Negeri Sembilan (41.7 peratus), Terengganu (41.4 peratus), Selangor (34.4 peratus), Kedah (33.1 peratus), Kuala Lumpur (32.7 peratus) dan Pahang, 26.4 peratus," katanya.

Pembancian mengikut jantina dan etnik pula, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah itu, peratusan lelaki dan perempuan masing-masing menyumbang 50 peratus.

Bagi statistik warganegara, katanya, Melayu mencatatkan sebanyak 61.4 peratus, diikuti Cina (24.3 peratus), Bumiputera lain (7.4 peratus), India (6.2 peratus) dan lain-lain, 0.6 peratus.

Bukan warganegara pula, golongan itu mencatatkan sebanyak 2.6 peratus.

"Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 11.7 juta penduduk Malaysia, 6.4 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas 69.5 peratus ialah umur bekerja bagi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun dan 24.1 peratus dalam kalangan umur muda iaitu 0 hinga 14 tahun," katanya.

Mohd Uzir berkata, seramai 2.1 juta penduduk sudah mendaftar e-Census manakala 322,000 penduduk belum selesai menjawab bancian kendiri secara dalam talian.

Justeru, beliau sekali lagi mengingatkan mereka yang belum berbuat demikian agar melakukan pengisian dengan segera.

Selain bancian secara dalam talian, katanya, operasi bersemuka Banci Malaysia 2020 turut dijalankan secara bersasar di kawasan terpilih sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan kaedah itu akan diteruskan di seluruh negara, sehingga 30 Jun depan di seluruh negara.

Berita Harian X