Isnin, 15 March 2021 | 4:00pm
Bebuli kosong vaksin COVID-19 Astra-Zeneca di pusat vaksinisasi UBO (Universite Bretagne Occidentale) Brest, barat Perancis. Belanda menggantung penggunaan vaksin itu, mulai Ahad lalu. - Foto AFP
Bebuli kosong vaksin COVID-19 Astra-Zeneca di pusat vaksinisasi UBO (Universite Bretagne Occidentale) Brest, barat Perancis. Belanda menggantung penggunaan vaksin itu, mulai Ahad lalu. - Foto AFP

Kesan vaksin: Pakar kaji insiden pembekuan darah

PUTRAJAYA: Pakar tempatan akan meneliti data klinikal dan maklumat membabitkan vaksin AstraZeneca yang dikaitkan dengan beberapa kejadian pembekuan darah oleh penerima vaksin itu, di negara luar.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini pengeluar vaksin itu memaklumkan tidak ada data yang menunjukkan kaitan langsung vaksin AstraZeneca dengan kes pembekuan darah.

"Vaksin AstraZeneca belum lagi sampai di Malaysia dan belum digunakan lagi di sini. Dalam tempoh masa sehingga ia tiba, kita akan melihat kepada maklumat data klinikal berkenaan kejadian itu.

"Apabila pakar membuat rumusan berkenaan isu ini, kita akan umumkan nanti.

"Buat masa ini, kita tidak ada pendirian lain (berhubung vaksin berkenaan)," katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara Eropah seperti Austria, Estonia, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Denmark dan Ireland selain Thailand di Asia Tenggara, mengumumkan menggantung pemberian vaksin berkenaan kepada penduduk di negara masing-masing, susulan beberapa kes pembekuan darah yang dialami penerimanya.

Austria sebelum ini mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

AstraZeneca mengeluarkan kenyataan menyatakan selepas meninjau data keselamatan lebih daripada 17 juta yang menerima pelalian di negara Kesatuan Eropah dan United Kingdom (UK), ia mendapati tiada bukti peningkatan risiko embolisme pada paru-paru, trombosis saraf dalam (DVT) atau trombositopenia, dalam mana-mana kumpulan umur, jantina, kumpulan atau negara tertentu.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan yakin dengan penilaian Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terhadap vaksin yang diperolehi ketika ini, termasuk keluaran AstraZeneca.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, mesyuarat Kabinet Rabu ini akan memutuskan mengenai Tabung Mudarat Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan sebagai satu mekanisme untuk mengatasi mudarat, akibat pelalian yang dijalankan terhadap penduduk di negara ini.

"Ia bukanlah satu pampasan," katanya.

Beliau berkata, pengumuman mengenainya dijangka dibuat pada minggu depan.

Berita Harian X