X
Ahad, 14 March 2021 | 6:14pm
 Foto AFP
Foto AFP

Malaysia yakin kelulusan NPRA vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca seperti dijadualkan, sekali gus memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan seperti dirancang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kerajaan yakin dengan kelulusan bersyarat diberikan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin itu untuk penduduk negara ini.

Bagaimanapun Dr Adham berkata, NPRA akan meneliti dokumen tambahan berhubung kesan sampingan penggunaan vaksin itu di beberapa negara sejak kebelakangan ini, sehingga ada negara yang menggantung penggunaannya.

"Kita yakin dengan keputusan NPRA untuk menggunakan AstraZeneca. Kita ambil juga kepentingan keberkesanan, keselamatan dan kualiti vaksin itu dalam meluluskan penggunaannya.

"Selain itu, kita juga berhati-hati dengan apa yang dilaporkan (berdasarkan kes di negara lain). Kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan mengambil kira sebab tertentu yang menyebabkan seseorang tidak boleh divaksin.

"Kita akan terus menasihati masyarakat mengenai perkara yang perlu mereka ketahui dan memberi jaminan vaksinasi ini adalah program yang baik," katanya kepada BH, hari ini.

Beberapa negara termasuk Denmark, Norway dan Iceland menghentikan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah berjaga-jaga selepas menerima beberapa laporan berhubung kes pembekuan darah dalam kalangan penerima vaksin itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menyatakan, tiada alasan untuk menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana pemeriksaan data keselamatan menunjukkan tiada kaitan antara vaksin itu dengan pembekuan darah.

Vaksin AstraZeneca menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lalu dan penghantaran vaksin itu ke Malaysia dilaporkan akan dibuat pada bulan ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan mengambil maklum berhubung laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengenai 30 kes pembekuan darah yang berlaku dalam kalangan lima juta orang yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca di negara benua itu.

Bagaimanapun, EMA menyatakan tiada petunjuk yang vaksin itu menyumbang kepada berlakunya kes berkenaan, yang mana tidak disenaraikan sebagai kesan sampingan.

"Kita tidak boleh membuat rumusan awal dan perlu melihat apakah fakta sebenar di sebalik kes yang berlaku," katanya.

Berita Harian X