Ahad, 14 March 2021 | 4:04pm
Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, bakal menjadi kawasan menarik untuk riadah orang ramai. - Foto JAS Johor
Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, bakal menjadi kawasan menarik untuk riadah orang ramai. - Foto JAS Johor

Sungai Kim Kim bakal jadi pusat rekreasi

KUALA LUMPUR: Sungai didakwa paling bertoksik di Malaysia, Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, bakal menjadi kawasan menarik untuk riadah orang ramai.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata kerja pemulihan dan perancangan secara holistik akan dilaksanakan bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau berkata, perkara utama perlu dilakukan adalah memastikan tiada lagi pembuangan haram dilakukan di sungai itu pada masa depan.

"Memang betul berlaku pencemaran teruk di Sungai Kim Kim, tetapi kita berusaha membersihkan sungai itu dengan bantuan pelbagai pihak termasuk masyarakat tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali. - Foto fail NSTP

"Kami merancang menjadikan sungai itu lokasi yang boleh dijadikan denai untuk kegunaan masyarakat sekitar. Jadi, kita akan melakukan pembersihan dari kilometer ke kilometer seterusnya.

"Kita juga akan mengindahkan tebing itu supaya semua pihak lebih menghargai sumber air negara," katanya selepas program gotong-royong membersihkan dan membaiki denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Sebahagian penduduk yang menyertai program gotong-royong membersihkan dan membaiki denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Sebahagian penduduk yang menyertai program gotong-royong membersihkan dan membaiki denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang dikesan pada 7 Mac 2019 menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan itu diarah tutup sementara.

Selepas siasatan dibuat, sejauh 1.5 kilometer Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa toksik dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar bersama sisa kimia berbahaya dilupuskan.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, Sungai Kim Kim kembali dicemari dan kali ini dengan tompokan minyak berbau busuk, selepas genap dua tahun mengalami pencemaran teruk akibat pelepasan sisa toksik.

Ditanya kemampuan membersihkan sungai didakwa paling bertoksik di Malaysia itu, Nor Hisham memberi jaminan ia boleh dilaksanakan dengan perancangan rapi termasuk memastikan tiada pembuangan sisa kilang ke dalam sungai itu.

"Dengan adanya penguatkuasaan undang-undang terhadap pembuangan sisa haram dan pelbagai perancangan lain, Sungai Kim Kim mampu dihidupkan semula dan ini akan kita cuba," katanya.

Berita Harian X