Ahad, 14 March 2021 | 3:47pm

Tingkat kesedaran, tanggungjawab pulihara alam sekitar

Pendedahan BH baru-baru ini mengenai Sungai Kim Kim kembali tercemar menimbulkan persoalan sejauh mana sungai di negara ini akan terus menjadi mangsa kerakusan manusia dan sampai bila ia akan berterusan.

Wartawan BH, Rohaniza Idris mewawancara Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai isu pencemaran yang terus berulang ini.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

S: Sejauh mana kebimbangan Datuk Seri melihat isu alam sekitar dihadapi di negara ini?

J: Pertumbuhan pesat sektor perindustrian dan projek pembangunan dijangka memberi kesan kepada kualiti alam sekitar sekiranya pihak pemegang taruh tidak memberi perhatian kepada elemen menjaga kelestarian alam sekitar.

Berdasarkan rekod aduan pencemaran diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat peningkatan pada 2019 dan 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan peningkatan kesedaran awam dalam kalangan masyarakat lebih peka dengan isu alam sekitar. Kerjasama semua agensi penguat kuasa pada peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar amat penting agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih berkesan di bawah bidang kuasa masing-masing.

S: Mengapa kes pencemaran sungai selalu berulang walaupun adanya tindakan dan penguatkuasaan diambil seperti di Sungai Selangor, Sungai Langat dan terbaru, Sungai Kim-Kim?

J: Pencemaran sungai amnya berpunca pelbagai sumber, antaranya air larian daripada guna tanah pertanian, pembuangan sisa pepejal, aktiviti penternakan, perlombongan, pengorekan pasir, air buangan dari pasar.

Terdapat juga pencemaran berpunca dari loji rawatan kumbahan dan pelepasan sisa perindustrian. Kewujudan kilang haram serta kawasan perumahan setinggan di kawasan rizab sungai serta pertambahan penduduk juga antara faktor menyumbang kemerosotan kualiti air sungai.

Penguatkuasaan sahaja tidak cukup dalam memastikan kes pencemaran sungai tidak berulang. Pihak berkepentingan daripada sektor pertanian, perladangan, penternakan dan perikanan pembalakan, selain industri serta penggerak projek perlu mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi, membudayakan self-regulation.

Setiap tindakan diambil perlu mengambil kira elemen kelestarian alam sekitar dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk atau masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras pencemaran sungai.

Dari segi penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974), JAS terus mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas punca pencemar tertakluk kepada perundangan berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai sebagai sumber bekalan air.

S: Apakah kita kurang fasiliti atau kepakaran untuk memantau atau mengambil tindakan hingga isu pencemaran terus berulang?

J: Hasil kajian sungai menunjukkan hanya 20 hingga 25 peratus punca pencemaran di satu-satu lembangan sungai tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, manakala 75 hingga 80 peratus di bawah bidang kuasa agensi lain.

Penguatkuasaan terhadap punca tertakluk di bawah AKAS 1974 sahaja tidak mampu meningkatkan kualiti air sungai tercemar dan memerlukan tindakan bersepadu semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mengawal pencemaran punca bermula peringkat perancangan hingga semasa operasi.

Oleh itu, pembabitan semua pihak mengawal punca pencemar di bawah bidang kuasa masing-masing amat penting bagi mengelakkan isu pencemaran alam sekitar daripada berulang.

Jika dilihat dari segi perancangan pembangunan, pembukaan bandar baharu akan disusuli dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam seperti sekolah, hospital, balai polis serta bomba, akan ada sejumlah pegawai tambahan daripada jabatan berkenaan untuk menguruskan kemudahan itu.

Pendekatan sama perlu diambil bagi sektor perindustrian yang pembukaan kawasan perindustrian baharu atau peningkatan bilangan kilang memerlukan penambahan pegawai penguat kuasa bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh.

Berdasarkan rekod JAS pada 2020, sebanyak 57,092 punca pencemar termasuk daripada aktiviti perindustrian dan loji rawatan kumbahan. JAS juga menerima 8,856 aduan pencemaran alam sekitar pada tahun itu.

Siasatan dan penguatkuasaan JAS terhadap punca pencemar dan aduan dilaksanakan 1,133 pegawai penguat kuasa beroperasi di 15 pejabat negeri dan 29 pejabat cawangan.

Jumlah punca pencemar secara umumnya akan meningkat selaras kepesatan pembangunan dan aktiviti perindustrian. Ini cabaran kepada negara dalam memastikan kualiti alam sekitar terjaga selari dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Kerjasama semua agensi penguat kuasa pada peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar amat penting agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih berkesan di bawah bidang kuasa masing-masing. - NSTP/Zain Ahmed
Kerjasama semua agensi penguat kuasa pada peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar amat penting agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih berkesan di bawah bidang kuasa masing-masing. - NSTP/Zain Ahmed

S: Dengan berulangnya kes, apakah undang-undang sedia ada ini ibarat tiada taring untuk mewujudkan rasa gerun?

J: JAS pada 2020 mengeluarkan 8,194 kompaun dengan peningkatan 193 peratus berbanding 2019 membabitkan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sebanyak 405 kes juga diambil tindakan mahkamah dengan kutipan denda sebanyak RM5.86 juta. JAS akan terus mengambil tindakan tegas ke atas pihak tidak mematuhi perundangan itu bagi memastikan sesiapa melakukan jenayah alam sekitar dibawa ke pengadilan.

Berdasarkan rekod, pada 2020, status pematuhan premis kepada AKAS 1974 ialah 98.6 peratus. Indikator ini menunjukkan tindakan penguatkuasaan tegas JAS kepada pihak melakukan kesalahan adalah berkesan dalam membendung kejadian pencemaran alam sekitar.

Ia juga menunjukkan hanya sejumlah kecil premis perlu diberikan lebih perhatian bagi memastikan pematuhan AKAS 1974 sepenuhnya dalam usaha mengekang isu pencemaran alam sekitar.

Kementerian juga sedang meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi meningkatkan hukuman dan penalti lebih tinggi daripada nilai sedia ada dan nilai kompaun bagi kesalahan dilakukan di bawah akta ini.

S: Benarkah penguatkuasaan tidak serius punca kes berulang seperti sikap pihak berkuasa cenderung bertindak apabila sesuatu isu menjadi heboh, bukannya mengambil langkah awal mengekang sebelum berlaku?

J: Di bawah AKAS 1974, aspek kawalan pencemaran alam sekitar daripada punca tertakluk kepada perundangan bermula di peringkat perancangan operasi premis atau projek.

Projek tertakluk Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 2015) perlu menyediakan dan mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) memperincikan langkah kawalan pencemaran akan diambil bagi mengelakkan atau mengurangkan kesan pelaksanaan aktiviti kepada alam sekitar.

Premis menghasilkan efluen perindustrian atau melepaskan pencemaran ke udara juga perlu memasang sistem kawalan pencemaran air atau udara dan mengemukakan maklumat teknikal kepada JAS.

JAS sentiasa meningkatkan penguatkuasaan AKAS 1974 dan tidak bertindak hanya berdasarkan aduan atau hanya selepas berlakunya pencemaran alam sekitar.

Penguatkuasaan dan pemantauan dijalankan melalui pemeriksaan berkala ke atas punca pencemar secara bersasar termasuk kilang, loji kumbahan dan bengkel terutama terletak di hulu loji rawatan air dan pengeluar buangan terjadual.

Kita juga melaksanakan operasi pemeriksaan premis besar-besaran melalui pengaktifan Ops Gempur di seluruh negara secara berkala, melaksanakan rondaan termasuk waktu malam ke kawasan spesifik untuk memantau aktiviti mencurigakan atau berisiko mencemarkan alam sekitar seperti pelepasan efluen tidak terawat, pembakaran terbuka dan pelupusan haram buangan terjadual.

Kementerian melalui JAS melakukan pemantauan melalui dron dijalankan ke kawasan spesifik dari semasa ke semasa.

JAS juga giat melaksanakan program dan kempen kesedaran kepada pihak kilang bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

Masyarakat juga perlu menjadi lebih peka dengan semua aktiviti pembangunan di sekeliling mereka termasuk kes pencemaran. Mereka boleh bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat pencemaran.

S: Sejauh mana negara kita menghadapi konflik antara pembangunan dengan pemuliharaan alam sekitar?

J: Pembangunan pesat sering dikaitkan kemusnahan alam sekitar terutama kemerosotan kualiti air sungai, penurunan kualiti udara, masalah pengurusan sisa pepejal, pelupusan haram sisa terjadual, kepupusan spesis flora dan fauna dan kemusnahan sumber asli serta ekosistem.

Bagi mencegah dan mengawal kesan negatif daripada aktiviti pembangunan terhadap alam sekitar, JAS menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya (AKAS 1974).

Antara peruntukan penting input alam sekitar kepada pembangunan ialah Seksyen 34A AKAS 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 bagi aktiviti ditetapkan.

Aktiviti ditetapkan dalam perintah itu perlu menyediakan laporan EIA untuk kelulusan JAS sebelum sesuatu projek pembangunan dimulakan. JAS juga memberi ulasan pembangunan bagi aktiviti tidak tertakluk kepada perintah itu.

Pembabitan semua pihak mengawal punca pencemar di bawah bidang kuasa masing-masing amat penting bagi mengelakkan isu pencemaran alam sekitar daripada berulang. - NSTP/Zain Ahmed
Pembabitan semua pihak mengawal punca pencemar di bawah bidang kuasa masing-masing amat penting bagi mengelakkan isu pencemaran alam sekitar daripada berulang. - NSTP/Zain Ahmed

S: Pembangunan semakin hampir dengan sungai menyebabkan sumber air terdedah kepada pencemaran. Pembangunan juga menyebabkan banyak hutan ditebang dan bukit ditarah. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Pembangunan bagi satu-satu kawasan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pembangunan kawasan juga perlu selaras dengan pelan perancangan pembangunan negeri dan daerah digubal serta dirancang bagi sesuatu tempoh.

Rancangan Struktur Negeri diurus Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah oleh PBT. Pelan pembangunan negeri dan daerah juga hendaklah seiring Rancangan Fizikal Negara dan dasar ditetapkan di peringkat nasional dari segi pengurusan sumber asli, kawasan sensitif alam sekitar, komitmen negara di peringkat global serta serantau.

Pembangunan lestari dengan mengambil kira kemampanan alam sekitar amat penting bagi memastikan sumber asli negara terpelihara.

S: Mungkin ada contoh atau model tertentu negara lain yang boleh dijadikan panduan untuk Malaysia mengatasi isu berkaitan alam sekitar?

J: Banyak negara maju antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea melaksanakan kawalan pencemaran berdasarkan penetapan Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) dan seumpamanya, sekali gus berjaya memulihkan sungai dalam negara mereka yang dahulunya tercemar melalui pendekatan ini.

Pelaksanaan TMDL akan mengambil kira semua punca pencemaran termasuk apa-apa air buangan ke dalam sungai dan bukan hanya fokus kepada premis industri melepaskan sisa serta loji rawatan kumbahan saja.

Semua punca pencemaran termasuk premis komersial, restoran, pasar basah, pertanian, ternakan, aktiviti akuakultur, pembalakan, pembukaan tanah, perlombongan pasir dikendalikan di bawah bidang kuasa pelbagai agensi akan diambil kira dalam TMDL.

Malaysia juga mengorak langkah ke arah melaksanakan TMDL. Pada masa ini, jabatan berkenaan giat memberi kefahaman, melatih dan mempromosi konsep TMDL kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membabitkan pengurusan sumber air untuk bersama-sama melaksanakan kawalan pencemaran air dengan konsep TMDL ini.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal

Perketat perundangan, didik masyarakat hargai kebersihan

S: Siapa perlu dipersalahkan dalam kes pencemaran sungai terus berulang?

J: Pencemaran sungai terus berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk kurang kesedaran awam dan ramai masih menganggap sungai tempat buang sampah, kumbahan serta bahan organik tumbuhan atau haiwan.

Peraturan dan undang-undang berkaitan sungai pula tidak dihormati dan dipantau, manakala pembangunan di kawasan sungai tidak dirancang baik dan pembangunan lama tidak dinaik taraf sesuai dengan perubahan masa dan teknologi.

S: Benarkah kini berlaku konflik antara pembangunan semakin pesat dengan pemuliharaan alam sekitar?

J: Sepatutnya konflik tidak berlaku sekiranya kita mengikuti peraturan dan ditambah baik dengan keadaan semasa. Kita ada peraturan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan peraturan berkaitan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar. Perancangan teliti sangat penting.

S: Sejauh mana negara berdepan masalah dalam konteks pemuliharaan alam sekitar lestari?

J: Dari segi kepelbagaian biologi, kita mesti mengambil tindakan segera secara sistematik. Keluasan kawasan hutan mesti dipantau seperti dalam perancangan negara, manakala cadangan Pelan Induk Rangkaian Ekologi (CFS) mesti disegerakan sebelum terlambat. Kita menghadapi kepupusan haiwan seperti harimau, tapir, seladang, gajah dan beruang madu, selain primat serta burung. Pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam isu pemuliharaan ini.

S: Sering kali dibangkitkan penguatkuasaan lemah. Bukankah tanggungjawab pemeliharaan tugas semua orang bukan hanya petugas penguatkuasa?

J: Memang benar, pihak berkuasa selalu dipersalahkan. Mungkin mereka ada kuasa mengambil tindakan dan tugas memantau serta terbabit dalam perancangan. Masyarakat juga mempunyai tugas penting dalam melaporkan kejadian pencemaran alam sekitar. Pendidikan dan kesedaran awam penting dan hubungan dua hala penting.

S: Sejauh mana tahap kesedaran umum mengenai pemeliharaan alam sekitar?

J: Kesedaran masyarakat wujud tetapi belum sampai ke tahap amalan berkesan seperti ditetapkan. Program Pendidikan Komunikasi dan Kesedaran Awam (CEPA) perlu dipergiatkan.

S: Apakah kekurangan fasiliti atau kepakaran untuk memantau atau mengambil tindakan terhadap pencemaran alam sekitar?

J: Perlu lebih banyak kajian dan pemantauan pihak berwajib dan membabitkan pakar bidang berkaitan alam sekitar. Mungkin pihak swasta dan korporat dapat menyumbang kepada tabung penyelidikan berkaitan sungai.

Kesedaran masyarakat mengenai pemeliharaan alam sekitar wujud tetapi belum sampai ke tahap amalan berkesan seperti ditetapkan. - NSTP/Kandau Sidi
Kesedaran masyarakat mengenai pemeliharaan alam sekitar wujud tetapi belum sampai ke tahap amalan berkesan seperti ditetapkan. - NSTP/Kandau Sidi

S: Kempen cintai sungai sudah lama dilaksanakan tetapi pencemaran sungai dan bekalan air mentah terus berlaku. Bagaimana pula dengan langkah pengesanan canggih untuk mengesan lebih awal?

J: Pendidikan awam, pemantauan, perancangan dan penguatkuasaan ialah kunci utama bagi memastikan sungai terus dipulih serta dipelihara.

Pada masa sama, petunjuk biologi penting sebagai amaran awal kepada pencemaran atau perubahan kualiti air sungai. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang awam perlu peka mengenai perkara ini.

Saya percaya jika syarikat korporat dapat membantu seperti dilaksanakan Syarikat Puncak Niaga melalui program Ranger River, ia akan dapat membantu. Kita ada banyak lagi syarikat korporat boleh tampil dan wujudkan pasukan sukarelawan untuk sungai.

S: Adakah Malaysia masih ketinggalan dari segi perundangan berkaitan alam sekitar?

J: Malaysia sudah agak ke hadapan dari segi peraturan dan undang-undang walaupun masih ada perlu ditambah baik. Pelaksanaan undang-undang perlu bersepadu untuk keberkesanan demi kesejahteraan masyarakat.

S: Mungkin ada contoh atau model tertentu di mana-mana negara yang boleh dijadikan panduan terutama menyelesaikan isu pencemaran sungai?

J: Kita mungkin boleh belajar dari negara selalu diperkatakan mengenai kebersihan sungai seperti Korea dan Jepun atau mana-mana lembangan sungai popular seperti United Kingdom (UK).

S: Mungkinkah proses perundangan mengambil masa panjang menyebabkan kes pendakwaan dijalankan tidak memberi pengajaran seperti sepatutnya?

J: Kes pendakwaan perlu dipercepatkan dan dengan pemantauan teliti mungkin akan membantu proses perundangan.

S: Apakah cadangan bagi memastikan pencemaran alam sekitar terutama sungai ini dapat diatasi?

J: Sangat mudah, pastikan sungai terus bersih, elakkan sebarang pembuangan sampah atau sisa tidak perlu ke dalam sungai dan mengekalkan sifat sungai sedia ada. Pada masa sama, pendidikan dan kesedaran umum perlu terus ditingkatkan. Semuanya akan berjaya jika dilaksanakan secara berterusan melalui sumber tenaga sukarelawan.

Berita Harian X