Sabtu, 13 March 2021 | 1:52pm

Pertambahan kuota haji bantu agensi pelancongan umrah, haji

KUALA LUMPUR: Pertambahan 10,000 kuota rasmi bagi jemaah haji Malaysia akan membantu agensi pelancongan umrah dan haji di negara ini bangkit selepas lebih setahun tidak dapat beroperasi akibat penularan COVID-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pengumuman itu menjadikan kuota rasmi Jemaah haji di negara ini kini 41,600 orang.

Beliau berkata, ia berdasarkan peratusan kuota haji ditetapkan Arab Saudi bagi setiap negara iaitu pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

"Meskipun tambahan kuota haji ini hanya akan diluluskan selepas situasi pandemik COVID-19 kembali normal, rata-rata ahli kami bersyukur dan tidak sabar untuk memasarkan pakej haji swasta mereka kepada orang ramai.

"Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam perniagaan masing-masing selepas hampir setahun menutup operasi.

"PAPUH juga yakin orang ramai tidak sabar untuk mendapatkan pakej haji swasta meskipun terpaksa berdepan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengakhiri lawatan di Arab Saudi, baru-baru ini, mengumumkan Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka ketika kunjungannya ke negara itu.

Razali yang turut merakam ucapan tahniah kepada Muhyiddin berikutan kejayaan mendapat tambahan kuota itu berharap kerajaan dapat membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat bagi membenarkan rakyat di negara ini menunaikan ibadah itu.

PAPUH berharap pengumuman itu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan ahlinya memulakan persediaan untuk pakej haji swasta mereka.

Ia juga bagi memberi bakal jemaah haji masa mencukupi untuk mengambil empat dos vaksin yang dijangka memerlukan lebih dari sebulan untuk dilengkapkan, termasuk vaksin COVID-19.

"Sekiranya pengumuman kebenaran mengerjakan haji diumumkan lewat, PAPUH khuatir bakal jemaah haji tidak dapat diberikan vaksin COVID-19 yang memerlukan masa sehingga 28 hari selepas dos pertama diberikan.

"Dalam masa sama, jemaah juga perlu mengambil vaksin Meningitis, Influenza dan Pneumokokal seperti ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

"PAPUH menaruh harapan yang tinggi kerajaan dapat membuka semula pintu sempadan dengan SOP ketat bagi membolehkan rakyat di negara ini mengerjakan ibadah umrah mereka pada Ramadan," katanya.

Berita Harian X