Jumaat, 12 March 2021 | 6:18pm

COVID-19: 1,575 jangkitan baharu, 3 lagi kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,575 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 320,939 dengan 17,074 kes aktif di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 1,568 kes berkenaan adalah penularan tempatan membabitkan 1,269 (80.9 peratus) rakyat Malaysia dan 299 (19.1 peratus) lagi warga asing.

Beliau berkata, baki tujuh jangkitan baharu pula adalah kes import membabitkan seorang rakyat Malaysia dan enam warga asing.

"Tiga kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan, hari ini, membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

"Ia membawa kepada jumlah kumulatif 1,203 kes (0.37 peratus), hingga kini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seramai 147 pesakit pula sedang dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) dengan 67 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, seramai 2,042 pesakit COVID-19 pulih, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 302,662 kes (94.3 peratus).

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 751 kes (47.7 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 694 kes (92.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 173 kes (11.0 peratus) dan Johor sebanyak 135 kes (8.6 peratus).

Sebanyak 69 kes (4.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Persiaran Wawasan (26 kes), Kluster Telok Mas (19 kes), Kluster Tembok Tapah (12 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (enam kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (empat kes), dan Kluster Tembok Taiping (dua kes).

Berita Harian X