Khamis, 11 March 2021 | 9:00pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Kenduri akikah cetus Kluster Jambatan 1 Bombalai

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 berpunca daripada kenduri akikah yang diadakan di Kalabakan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu sudah mencatatkan sebanyak 15 kes.

"Pada hari ini, satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Jambatan 1 Bombalai di Kalabakan membabitkan pertambahan empat kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes.

"Kes indeks membabitkan wanita berusia 59 tahun yang tinggal di Kampung Jambatan 1 Bombalai dalam mukim Merotai di daerah Kalabakan yang dikesan positif melalui

saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Tawau pada 26 Februari lalu.

"Hasil penelitian, kes indeks mengadakan kenduri akikah di kediaman beliau di Kampung Jambatan 1 Bombalai pada 20 Februari lalu.

"Daripada 41 kontak rapat yang disaring sejak 1 Mac lalu, seramai 14 orang disahkan positif dan pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri itu berkata, jumlah kes COVID-19 pada hari ini masih kekal mencatatkan dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini sebanyak 61 kes menjadikan jumlah kumulatif

53,736 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

"Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital adalah 78 orang menjadikan jumlah kumulatif 52,546 orang," katanya.

Mengulas mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi berkata setakat ini seramai 2,484 orang sudah menerima suntikan vaksin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 19,032 orang.

Berita Harian X