Rabu, 10 March 2021 | 7:20pm
 Pantai Chenang antara destinasi tumpuan pelancong di Pulau Langkawi. - Foto BERNAMA
Pantai Chenang antara destinasi tumpuan pelancong di Pulau Langkawi. - Foto BERNAMA

Persatuan pelancongan rayu benarkan guna kenderaan persendirian

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) merayu kerajaan membenarkan kenderaan persendirian digunakan untuk melancong di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, jumlah kenderaan pelancong yang berdaftar di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Langkawi hanyalah 214 berbanding lebih 3,000 sebelum ini.

Katanya, jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi pada Disember tahun lalu ialah kira-kira 245,000 orang dan jumlah kenderaan sedia ada jelas tidak mencukupi.

"Inikan pula syarat dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menggunakan kenderaan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

"Rasanya ramai yang tidak selesa apabila syarat begini dikenakan selain faktor kebersihan apabila orang bersilih ganti menggunakan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran melancong dari negeri PKPP perlu menggunakan perkhidmatan pengangkutan dan penginapan daripada agensi pelancongan yang ditetapkan.

Katanya, sebelum syarat dikenakan, pihak berwajib haruslah melihat dengan jelas apa sebenarnya tindakan yang patut dilaksanakan.

"Bayangkan, kos untuk mendapatkan permit kereta yang berdaftar di bawah APAD adalah sekitar RM6,000.

"Justeru, tindakan yang ditetapkan oleh MKN ini dianggap tidak boleh menampung ekonomi dan pelancongan di sini.

"Jadi kita amat mengalu-alukan supaya kerajaan membenarkan kereta persendirian dibenarkan melancong demi keselesaan, kebersihan dan dalam masa yang sama menjaga prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Berita Harian X