Rabu, 10 March 2021 | 6:12pm
Malaysia mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula. - Foto hiasan
Malaysia mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula. - Foto hiasan

Tak mungkin laksana tahun ini

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) tidak menjangkakan kuota tambahan 10,000 yang dipersetujui Kerajaan Arab Saudi dapat dilaksanakan bagi musim haji tahun ini.

Sebaliknya, PAPUH menjangkakan cuma satu pertiga daripada jumlah jemaah mengikut kuota haji sedia ada berpeluang untuk ke Tanah Suci sekiranya ia dibuka untuk jemaah dari negara luar.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata dalam keadaan negara masih berada di bawah perintah darurat yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini, tentu penambahan kuota seperti diumumkan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, agak mustahil untuk direalisasikan.

"Kami sangat mengalu-alukan khabar gembira ini, …tetapi ia ibarat 'mimpi di siang hari' memandangkan negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan di bawah Ordinan Darurat dengan giliran menunggu suntikan vaksin juga dilakukan secara berperingkat hingga tahun depan.

"Begitu juga Arab Saudi yang masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan) menunaikan umrah dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi pada 7 Mac atas undangan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan) menunaikan umrah dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi pada 7 Mac atas undangan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. - foto BERNAMA

Muhyiddin pada sidang media di Riyadh petang semalam sempena mengakhiri lawatan di Arab Saudi berkata, Malaysia mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Perkara itu katanya, dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah petang semalam.

Putera Mohammed memberikan reaksi positif terhadap permintaan Malaysia bagi mendapatkan kuota haji tambahan apabila kerajaan Arab Saudi membuka sepenuhnya ibadat itu yang terjejas akibat pandemik.

Muhyiddin berkata, beliau menjelaskan ada kira-kira 3.6 juta bakal jemaah haji yang berdaftar dengan Tabung Haji ketika ini dan secara asasnya terpaksa menunggu hingga 130 tahun untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji.

"Ini satu berita yang amat baik, cuma sama ada bila masa kuota penuh ini dapat digunakan ini akan ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi, bukan saja untuk Malaysia tapi untuk negara lain pun kena tunggu apabila perkara itu akan dilaksanakan," kata Muhyiddin dalam sidang media itu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Kerajaan Arab Saudi pasti akan mengekalkan SOP ketat bagi musim haji tahun ini dengan mengutamakan penjarakan sosial sebagaimana ibadah haji pada tahun lalu.

"Macam mana pun, pasti ada penjarakan di antara jemaah, jika musim haji dahulu, kapasiti kaki bertemu kaki di Arafah, takkan dalam keadaan sekarang ini (ancaman COVID-19), Kerajaan Arab Saudi tambah jumlah jemaah.

"Saya jangka COVID-19 akan tamat sepenuhnya tiga tahun lagi, mungkin selepas itu barulah kuota tambahan dapat digunakan," katanya.

Tambahnya, sekiranya kuota berkenaan benar-benar dapat direalisasikan bagi musim haji tahun ini, ia memberi sedikit kelebihan kepada kira-kira 22 syarikat pengelola jemaah haji swasta (PGH) yang dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam pada itu Razali turut merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan keutamaan pemberian vaksin kepada jemaah yang akan mengerjakan haji dan umrah.

"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan suntikan vaksin diberi kepada kelompok jemaah yang sedang menunggu untuk mengerjakan haji dan umrah sebaik ia dibuka oleh Kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi.

"Jika mereka memotong barisan, akan dikenakan denda, …jadi berilah keutamaan kepada jemaah kerana ramai yang sudah menunggu terlalu lama untuk mengerjakan ibadah yang tertunda sejak penutupan ibadah itu kepada jemaah luar negara," katanya.

Berita Harian X