Rabu, 10 March 2021 | 1:15pm
KETIBAAN pelancong asing ke Malaysia susut 83.4 peratus tahun lalu. Foto hiasan BERNAMA
KETIBAAN pelancong asing ke Malaysia susut 83.4 peratus tahun lalu. Foto hiasan BERNAMA

Ketibaan pelancong asing ke Malaysia susut 83.4 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan lebih 4.3 juta ketibaan pelancong asing ke Malaysia, tahun lalu, iaitu penurunan mendadak sebanyak 83.4 peratus berbanding 26.1 juta pada 2019, kesan penularan COVID-19.

Tourism Malaysia memaklumkan, kadar pendapatan negara daripada sektor pelancongan turut merudum 85.3 peratus apabila hanya meraih RM12.69 bilion tahun lalu berbanding RM86.14 bilion pada 2019.

Katanya, purata perbelanjaan per kapita untuk sektor pelancongan yang direkodkan Malaysia tahun lalu adalah RM2,928, iaitu penurunan 11.3 peratus berbanding RM3,300 pada 2019.

"Penurunan ketara ketibaan pelancong asing ke Malaysia adalah disebabkan oleh penutupan sempadan negara sejak 18 Mac tahun lalu, berikutan penularan pandemik COVID-19," menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Tourism Malaysia menjelaskan, situasi penyusutan pertumbuhan sektor pelancongan itu bukan unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya turut dialami negara lain, khususnya di Asia.

"Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Asia dan Pasifik merekodkan penyusutan ketibaan pelancong sebanyak 84 peratus.

"Negara jiran Malaysia di rantau ASEAN turut merekodkan penurunan jumlah pelancong yang ketara, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus), berdasarkan data Persatuan Pelancongan Pasifik Asia (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO)," katanya.

Tourism Malaysia memaklumkan pertumbuhan negatif jumlah pelancong itu juga direkodkan dalam semua pasaran, iaitu pasaran jarak dekat (-83.5 peratus), jarak sederhana (-84.7 peratus) dan jarak jauh (-79.7 peratus).

Bagaimanapun, katanya, pelancong negara-negara ASEAN atau pasaran jarak dekat kekal sebagai penyumbang utama ketibaan pelancongan asing ke Malaysia membabitkan 2.9 juta atau 68.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing tahun lalu.

Ia disusuli pasaran jarak sederhana dengan 20.1 peratus, yang merangkumi Asia Timur dan Asia Selatan (870,314), manakala pasaran jarak jauh merekodkan ketibaan 512,484 pelancong asing atau 11.8 peratus, membabitkan negara-negara Asia Barat, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika.

"Senarai ketibaan pelancong asing dari 10 negara tertinggi ialah dari Singapura (1,545,255), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam, 64,184 orang.

"Dari segi perbelanjaan keseluruhan pelancong, lima penyumbang tertinggi adalah dari Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand," katanya.

Berita Harian X