Selasa, 9 March 2021 | 4:57pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA

Pasaran modal Islam berdaya tahan - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Islam terbukti berdaya tahan sepanjang mengharungi pandemik COVID-19 dan mewujudkan impak besar terhadap ekonomi di seluruh dunia menerusi peningkatan terbitan sukuk global tahun lalu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah sejumlah AS$172.1 bilion sukuk diterbitkan pada tahun lalu, meningkat 1.8 peratus daripada 2019 dengan momentum kukuh dalam pasaran sukuk utama, terutamanya bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020.

"Terbitan ini membantu membiayai pakej rangsangan yang diperkenalkan untuk mengurangkan impak ekonomi daripada pandemik COVID-19.

"Pertumbuhan defisit fiskal ini membawa kepada peningkatan keperluan pembiayaan," titah baginda dalam ucapan perasmian pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-16 yang diadakan secara maya, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, terbitan sukuk berkurangan pada suku keempat dengan penurunan ketara dalam terbitan sukuk negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), terutama dari Arab Saudi.

"Keadaan itu dengan sendirinya menunjukkan kejayaan penjanaan modal pada suku tahun sebelumnya, selain beberapa langkah yang diambil untuk mengurangkan defisit," titah baginda.

Sebagai tindak balas terhadap krisis itu di peringkat domestik, Sultan Nazrin bertitah, Malaysia memanfaatkan sumber pembiayaan terbabit dan meraih RM666 juta pada Ogos 2020 untuk inisiatif '6R' yang merangkumi menyelesaikan (resolve), berdaya tahan (resilience), bermula semula (restart), pemulihan (recovery), pemerkasaan (revitalise) dan pembaharuan (reform).

Titah baginda, terbitan kedua sekurang-kurangnya RM100 juta dirancang untuk membiayai penyelidikan mengenai penyakit berjangkit, termasuk pembangunan vaksin, rawatan dan diagnostik.

"Secara keseluruhannya, pandemik menyebabkan industri kewangan Islam suram pada 2020 berbanding pertumbuhan pesat 13 peratus pada 2019, dengan banyak negara Islam turut menyesuaikan dengan harga minyak yang rendah dalam sejarah.

"Antara cabaran utama dihadapi bank Islam ialah pendedahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembiayaan mikro dan pelanggan runcit berbanding institusi kewangan konvensional.

"PKS berperanan penting dari aspek pekerjaan dan sumbangannya kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) di negara ini seperti kebanyakan negara lain dan mereka sudah menderita secara tidak langsung sejak pandemik ini," titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah, sektor PKS dijangka kembali bangkit dengan cepat, dengan jumlah aset patuh syariah diramal mencapai AS$3.69 trilion (RM15.24 trilion) menjelang 2024.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, lebih banyak usaha mesti dilakukan perbankan Islam bagi menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya terhadap kumpulan rentan yang banyak terjejas kesan pandemik COVID-19, terutama isu berkaitan kemiskinan serta kehilangan pekerjaan.

"Penggiat industri kewangan perlu meneliti tindakan yang dapat dilakukan untuk meningkatkan sumbangan kepada SDG.

"Satu isu yang sangat berkaitan kewangan Islam dan pencapaian SDG adalah penyertaan kewangan. Mekanisme penting untuk mengatasi kemiskinan adalah dengan meluaskan faedah perantaraan kewangan kepada seberapa ramai masyarakat.

"Namun, secara praktiknya, banyak yang berada di luar sektor perbankan formal disebabkan oleh kos tinggi yang diperlukan bagi menjangkau golongan berpendapatan rendah untuk menerima perkhidmatan kewangan," titah baginda.

Berita Harian X