Isnin, 8 March 2021 | 6:31pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuka paip air sebagai merasmikan Majlis Penyerahan Pertama Projek Wakaf Air kepada penduduk Kampung Melayu Seelong Senai, Johor. - Foto ZAIN AHMED
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuka paip air sebagai merasmikan Majlis Penyerahan Pertama Projek Wakaf Air kepada penduduk Kampung Melayu Seelong Senai, Johor. - Foto ZAIN AHMED

Bekalan air bersih di Baling terjejas

KULAI: Cuaca panas melampau ketika ini menyebabkan penduduk di kawasan utara tanah air terutama di Baling, Kedah berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat ini hanya kawasan berkenaan terjejas manakala bekalan air bersih di negeri lain keadaannya masih terkawal.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air setakat ini hanya menerima satu aduan isu bekalan air bersih di Baling Kedah dan pada masa yang sama kementerian juga sedang memantau punca air termasuk empangan di setiap negeri.

"Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan segera menyalurkan bekalan air ke rumah penduduk menggunakan lori tangki," katanya pada sidang media selepas penyerahan wakaf air kepada penerima di Kampung Melayu Seelong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sekiranya musim panas berpanjangan, kementerian itu akan melakukan beberapa langkah termasuk memperbanyakkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bagi memastikan bekalan air tidak terjejas jika berlaku kemarau.

"TAPS adalah kaedah baharu yang diperkenalkan kementerian dengan menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut dan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.

"Dahulu air di hulu sungai akan ditakung tetapi sekarang TAPS akan dibangunakan di hilir sungai berdekatan loji rawatan air pula yang secara tidak langsung menjimatkan kos rawatan air," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu jug mempunyai perancangan untuk membangunkan TAPS di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam masa terdekat.

"TAPS akan dibangunkan di kawasan kritikal sebagai contoh dahulu negeri Selangor pernah berdepan masalah pencemaran sungai yang serius.

"Kementerian akan bangunkan TAPS,di Sungai Rasau, Selangor dan merancang untuk membina lima lagi TAPS di Kedah bergantung kepada peruntukkan yang akan diteliti dalam (RMK- 12)," katanya.

Berita Harian X