Isnin, 8 March 2021 | 4:27pm

KASA siasat tompokan air hitam

KLUANG: Tidak mahu tragedi bencana yang melanda Sungai Kim Kim berulang, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengarahkan jabatan berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat 'tompokan air hitam' yang didakwa mencemari sungai itu sejak kebelakangan ini.

Semalam genap ulang tahun kedua tragedi pencemaran itu yang menjejaskan ribuan pelajar sekolah serta masyarakat sekitar Pasir Gudang.

Menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sampel air telah diambil selain pemantauan menggunakan dron di sepanjang lembangan sungai berkenaan untuk mengenal pasti punca dari mana air hitam berkenaan.

"Sejak dapat laporan semalam, kita telah gerakkan JAS dan pegawai telah turun ke Sungai Kim Kim pagi ini untuk mengenal pasti punca pencemaran.

"Kita harap insiden Sungai Kim Kim jadi pengajaran (kepada semua) dan saya nak tegaskan bahawa kementerian tidak akan kompromi dengan sebarang elemen yang sebabkan pencemaran.

"Kita juga akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana kilang yang melepaskan sisa cemar ke sungai yang mengakibatkan pencemaran," katanya di Dewan Muafakat Simpang Renggam, hari ini.

Sungai Kim Kim . - Foto fail NSTP
Sungai Kim Kim . - Foto fail NSTP

Ditanya bila hasil ujian sampel air itu akan diketahui, beliau berkata keputusannya dijangka diperoleh hari ini atau esok.

Tuan Ibrahim mengulas mengenai laporan mengenai dakwaan penduduk sekitar Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang, berkenaan tompokan air hitam di sungai berkenaan.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis undi perdana kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi negeri Johor.

Pada 7 Mac 2019, sekumpulan pelajar dan guru mengalami mual, pening dan muntah di sebuah sekolah dipercayai terhidu bau pencemaran berpunca daripada sisa toksik yang dibuang di Sungai Kim Kim.

Keadaan pencemaran yang berlarutan dan membimbangkan itu turut mendorong 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup sementara selain turut menjejaskan kehidupan ribuan masyarakat dan industri sekitar kawasan itu selama dua minggu lamanya.

– BERNAMA

Pegawai JAS memantau keadaan air Sungai Kim Kim yang tercemar. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Pegawai JAS memantau keadaan air Sungai Kim Kim yang tercemar. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X