Isnin, 8 March 2021 | 3:40pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Vaksin COVID-19 lalui tapisan ketat

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memastikan setiap vaksin COVID-19 yang sudah mendapat kelulusan bersyarat daripada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), adalah selamat untuk diberi kepada penduduk di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya tetap dengan pendirian bahawa setiap vaksin yang dibawa masuk perlu melalui tapisan yang ketat oleh bahagian itu.

Beliau berkata, ia bagi memastikan jaminan keselamatan terhadap penerima vaksin COVID-19.

"Setakat ini pemberian kelulusan bersyarat ini sangat meyakinkan dan boleh teruskan dengan pemberian vaksin yang mendapat kelulusan bersyarat daripada NPRA," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini.

Sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin itu turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Austria yang menangguhkan sementara pemberian satu kelompok vaksin keluaran AstraZeneca sebagai langkah berjaga-jaga susulan satu kematian akibat masalah pembekuan darah yang teruk serta satu kes yang mengalami 'pulmonary embolism' selepas kedua-duanya mengambil vaksin berkenaan di negara itu baru-baru ini.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam meluluskan pendaftaran secara bersyarat tiga vaksin COVID-19 untuk digunakan ketika pandemik.

Vaksin berkenaan adalah 'COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection' (cecair suntikan), 'CoronaVac Suspension for Injection' (cecair suntikan) atau Sinovac dan 'COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection' (konsentrat penyebar bahan suntikan) iaitu permohonan bagi sumber kedua kepada produk COMIRNATY yang sudah diberikan pendaftaran bersyarat.

Sementara itu, Dr Adham berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau maklumat mengenai kesan samping yang teruk dialami sejumlah 139,720 penerima vaksin COVID-19 setakat ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ada antara penerima mengalami kesan samping yang biasa dialami oleh mana-mana penerima vaksin seperti kesakitan pada lengan yang disuntik.

Berita Harian X