Isnin, 8 March 2021 | 11:56am
Keadaan air yang keruh dan agak hitam didalam Sungai Kim Kim, merisaukan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang kemungkinan berlaku sekali lagi pencemaran sisa toksid. - NSTP/Zain Ahmed
Keadaan air yang keruh dan agak hitam didalam Sungai Kim Kim, merisaukan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang kemungkinan berlaku sekali lagi pencemaran sisa toksid. - NSTP/Zain Ahmed

Sungai Kim Kim kembali 'ternoda'

PASIR GUDANG: Selepas genap dua tahun semalam mengalami pencemaran teruk akibat pelepasan sisa toksik sehingga menjadi tajuk utama media dan menarik perhatian seluruh negara, Sungai Kim Kim kembali 'dinoda', kali ini dengan tompokan minyak berbau busuk.

Dalam insiden dikesan pada 7 Mac 2019, penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah di kawasan itu diserang sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Tinjauan di Sungai Kim Kim kelmarin, mendapati sungai itu yang kembali jernih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac tahun lalu, kini mulai keruh dengan tompokan minyak mengalir ke bahagian hulu sungai berkenaan.

Ketua Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, berkata pencemaran terbaru di Sungai Kim Kim disedari penduduk sebulan lalu, kira-kira empat bulan selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kerja menyelenggara sistem saliran berkenaan.

Keadaan air Sungai Kim Kim yang keruh dan hitam membimbangkan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. - NSTP/Zain Ahmed
Keadaan air Sungai Kim Kim yang keruh dan hitam membimbangkan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. - NSTP/Zain Ahmed

"Sejak sebulan lalu, Sungai Kim Kim kembali keruh dengan kesan tompokan minyak mengalir di kawasan hulu sungai di kampung ini. Kami bimbang kerana 7 Mac ini genap dua tahun insiden pencemaran sisa toksik sungai ini yang menyebabkan ramai penduduk terjejas.

"Pencemaran terbaru mengundang kembali kenangan pahit dua tahun lalu. Kami masih ingat ramai pelajar tiga sekolah di sini pitam dan sesak nafas dalam insiden pada 2019 dan kami bimbang kerana sekarang musim panas, insiden sama berisiko berulang apatah lagi sekolah sudah dibuka," katanya ketika ditemui BH.

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang dikesan pada 7 Mac 2019 lalu menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara.

Keadaan air Sungai Kim Kim yang keruh dan hitam membimbangkan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. - NSTP/Zain Ahmed
Keadaan air Sungai Kim Kim yang keruh dan hitam membimbangkan penduduk di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. - NSTP/Zain Ahmed

Pada hari berkenaan, bau bahan kimia sangat kuat dikesan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Pasir Putih di Pasir Gudang. Pelajar dua sekolah itu bersama guru dan pekerja kantin juga mengalami simptom pening, loya, muntah dan ada yang pengsan.

Selepas siasatan dibuat, sejauh 1.5 kilometer (km) Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa toksik dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar bersama sisa kimia berbahaya dilupuskan.

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Adli Suri Rabu, mendakwa bau busuk dari tompokan minyak yang dikesan di hulu Sungai Kim Kim hampir sama dengan sisa toksik beracun dua tahun lalu, namun tidak sekuat kejadian terdahulu yang menyebabkan penduduk sesak nafas, loya dan pening.

"Selepas pelaksanaan PKP tahun lalu, air Sungai Kim Kim semakin jernih dan hidupan sungai ada kembali. Namun, sejak sebulan lalu sungai kembali tercemar dan nelayan mengadu hidupan sungai juga 'hilang'.

"Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan awal, buat pemeriksaan mengejut dan intipan bagi memastikan tiada pihak membuang sisa toksik ke dalam sungai ini semula. Kami juga ada meninjau tetapi tidak menemui jejak dan kesan kerana kegiatan buang sisa toksik dipercayai pada tengah malam atau awal pagi," katanya.

JAS Johor guna dron pantau pencemaran

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan menggerakkan dron bagi memantau kawasan pencemaran termasuk di Sungai Kim Kim.

Pengarahnya, Dr Famey Yusoff, berkata bagi memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan, pihaknya meminta penduduk yang terjejas akibat pencemaran segera menyalurkan maklumat.

Beliau berkata, aduan rasmi berkenaan membolehkan JAS mengumpul data awal termasuk lokasi sebenar pencemaran yang didakwa berlaku.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Dr Famey Yusoff. - NSTP/Rosela Ismail
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Dr Famey Yusoff. - NSTP/Rosela Ismail

Katanya, data awal itu amat penting bagi membolehkan pegawai penyiasat JAS ke lokasi yang tepat bagi mengesan punca dan melakukan siasatan terperinci.

"Hubungi talian hotline JAS di talian 1-800- 88-2727 supaya pegawai penyiasat dapat dihantar ke lokasi tepat membuat siasatan.

"Sungai Kim Kim contohnya, jajarannya agak panjang dan jika JAS tiada maklumat lokasi atau bahagian tepat di mana pencemaran berlaku, ia akan menyukarkan pegawai kerana terpaksa menyusur sepanjang sungai, sekali gus menyebabkan pemantauan tidak berhasil," katanya ketika dihubungi BH.

Famey berkata, JAS memiliki sistem data khas dan boleh mendapatkan maklumat segera, terutama mengenai punca pencemaran jika tahu bentuk pencemaran.

Katanya, JAS juga mempunyai kepakaran mengenal pasti pencemaran, selain mempunyai prosedur tertentu bagi memastikan sama ada ia berbahaya atau tidak.

Sungai Kim Kim kembali tercemar dengan tompokan minyak yang berbau busuk selepas dua tahun sungai berkenaan menggemparkan negara dengan pencemaran sisa toksik.

Penduduk Kampung Bukit Pulai, yang terletak berhampiran kawasan di mana punca pembuangan sisa toksik dikesan dua tahun lalu, mendakwa turut dapat menghidu bau busuk seakan menyamai insiden berkenaan.

Berita Harian X