Ahad, 7 March 2021 | 10:08am
Sebahagian daripada 400 kakitangan Jabatan Kesihatan Petaling menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, antara hujung Februari hingga April. Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Sebahagian daripada 400 kakitangan Jabatan Kesihatan Petaling menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, antara hujung Februari hingga April. Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Pelalian di hospital swasta giatkan ekonomi

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mahu hospital swasta dibenarkan melaksana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun, berkata kebenaran itu akan mempercepat program pelalian terhadap COVID-19 dan merancakkan ekonomi tempatan, khususnya sektor pelancongan.

Pada masa sama, beliau berkata, vaksinisasi di hospital swasta menjimatkan kos pembayaran vaksin COVID-19 oleh kerajaan.

"Kebenaran kepada hospital swasta melaksanakan imunisasi dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu menunggu giliran lebih lama.

"MATA percaya bagi kalangan rakyat yang mampu, mereka akan memilih hospital swasta untuk program imunisasi," katanya dalam kenyataan, semalam.

Semalam, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika ini tumpuan kerajaan sebanyak 80 peratus rakyat atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma.

Taman tema sudah boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Foto BERNAMA
Taman tema sudah boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Foto BERNAMA

Mohd Khalid berkata, langkah mempercepat pemberian vaksin akan mempercepat pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya sektor pelancongan yang hampir terkubur akibat pandemik COVID-19.

Katanya, pada 2019, sektor pelancongan menyumbang RM89.4 bilion atau 15.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Jika semua rakyat Malaysia diberikan pelalian vaksin, saya percaya sektor pelancongan akan kembali aktif dengan kedatangan pelancong luar ke Malaysia serta rakyat Malaysia boleh melancong ke luar negara.

"MATA juga yakin dengan mempercepat program imunisasi negara, industri penerbangan, agensi pelancongan, hotel, restoran, taman tema, syarikat pertukaran mata wang, kedai cenderahati serta sektor berkaitan pelancongan akan kembali beroperasi," katanya.

Beliau berkata, MATA juga menggesa kerajaan mengkaji semula kebenaran rentas negeri bagi menggalakkan industri pelancongan domestik hidup semula.

"Operator pelancongan di Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman serta pulau peranginan lain, bergantung sepenuhnya kepada pelancong domestik.

"Buat ketika ini, mereka tidak mempunyai pendapatan yang dapat membantu kelangsungan hidup," katanya.

Berita Harian X