Sabtu, 6 March 2021 | 9:06pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.- Foto fail NSTP
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.- Foto fail NSTP

Sumbangan wanita lonjak sektor pengajian tinggi

KUALA LUMPUR: Peranan dan sumbangan besar wanita berjaya meletakkan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi antarabangsa di peta dunia, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, pemerkasaan wanita dan kesaksamaan dalam ekosistem pendidikan tinggi, menunjukkan ia kini jelas didominasi golongan terbabit.

Katanya, di institusi pendidikan tinggi awam, lebih daripada 55 peratus ahli akademik adalah wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang pengajian.

"Pada tahun 2020, jumlah wanita mendaftar di institusi pendidikan tinggi awam seramai 357,087 orang mewakili 61 peratus daripada jumlah mahasiswa yang mendaftar, manakala hampir 53 peratus daripada 537,434 mahasiswa yang mendaftar di institusi swasta turut membabitkan golongan wanita," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Noraini berkata, selain menunjukkan prestasi yang baik dalam arena diceburi, ahli akademik wanita juga menunjukkan kemampuan memegang jawatan strategik dalam pentadbiran universiti

"Pada tahun 2020, empat wanita dipilih memangku jawatan Timbalan Naib Canselor di tiga institusi pendidikan awam Prof Dr Noorsaadah Abd Rahman (Universiti Malaya), Prof Dr Roziah Mohd Janor (Universiti Teknologi MARA), Prof Dr Suriani Abu Bakar dan Prof Dr Marzita Puteh (Universiti Pendidikan Sultan Idris)," katanya.

Beliau berkata, sokongan Malaysia terhadap pemerkasaan wanita dan kesaksamaan juga dapat dilihat di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila lebih separuh daripada tenaga kerja seramai 15,164 orang atau 56 peratus adalah wanita.

Katanya, pada tahun lalu, seorang daripada wanita terbabit berjaya melakar sejarah tersendiri dalam bidang akademik.

"Penyelidikan oleh Ketua Jabatan Mikrobiologi Perubatan di Fakulti Perubatan UM, Prof Madya Dr Chan Yoke Fun mengenai penyakit tangan, kaki dan mulut berjaya menghasilkan vaksin memerangi virus dan penyakit jangkitan otak dalam kalangan kanak-kanak.

"Hasil penyelidikan itu, beliau memenangi anugerah berprestij ASEAN-US Science Prize for Women 2020 dan turut menerima penghargaan daripada ASEAN Committee on Science, Technology, and Innovation (COSTI), The US Agency for International Development (USAID) dan Underwriters Laboratories," katanya.

Beliau berkata, wanita dilihat semakin berdikari, kuat dan berani selari dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu#ChooseToChallenge yang menggambarkan gaya hidup milenial dan generasi Z.

"Malaysia menyokong sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terutama matlamat keempat dan kelima yang menyasarkan pendidikan berkualiti serta mencapai kesaksamaan jantina melalui pemerkasaan lebih ramai wanita serta kanak-kanak perempuan.

"Jumlah peningkatan wanita cemerlang dalam pengajian tinggi menjadi bukti komitmen kami terhadap SDG," katanya.

Berita Harian X