Sabtu, 6 March 2021 | 10:04am

DidikTV KPM rintis pembelajaran menyeluruh, berkesan

Kuala Lumpur: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memperluaskan prospek TV Pendidikan dengan memperkenalkan saluran khas DidikTV KPM menerusi NTV7 berupaya memastikan sistem penyampaian pembelajaran menjadi lebih menyeluruh dan berkesan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata saluran dilancarkan pada 17 Februari lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu wajar diteruskan sebaik sesi persekolahan bermula Isnin ini dengan pengisiannya mesti disesuaikan mengikut perkembangan serta keperluan murid.

Katanya, DidikTV KPM perlu menjadi saluran sumber ilmu terbaik untuk anak mendapat akses pendidikan.

"Contoh jika mereka tidak dapat ke sekolah atau tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, murid ini masih boleh mengikuti pembelajaran di saluran televisyen ini di rumah atau bagi subjek yang ketinggalan," katanya kepada BH.

Semua pihak perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku kerana tiada jaminan COVID-19 akan reda dalam tempoh terdekat. Masyarakat juga perlu bersedia mengadaptasi pendidikan berorientasikan digital demi kelangsungan masa depan.

Selain DidikTV KPM, beberapa pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) lain juga dilaksana KPM sejak tahun lalu termasuk meminta murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa perlu keluar rumah.

Sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu juga, KPM memperkenalkan platform pembelajaran baharu iaitu MPE-DL melalui www.moe.edu.my, yang mengandungi pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/CikgooTube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

Selain itu, ibu bapa boleh mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui eduwebtv.moe.edu.my dan bit.ly/cikgootube.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata keputusan KPM membuka semula sekolah bermula Isnin ini juga sedikit sebanyak mengurangkan beban guru dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Guru juga berdepan banyak masalah sepanjang tempoh PdPR dilaksanakan seperti masalah pemilikan peranti, capaian internet lemah dan kurang komitmen murid. Guru-guru sememangnya sudah lama menunggu pembukaan sekolah ini," katanya.

Berita Harian X