Sabtu, 6 March 2021 | 10:02am
 Pematuhan SOP yang ketat dalam kalangan murid dan guru bagi mengelak penularan wabak COVID-19. - Foto Aizuddin Saad
Pematuhan SOP yang ketat dalam kalangan murid dan guru bagi mengelak penularan wabak COVID-19. - Foto Aizuddin Saad

Buka semula sekolah keputusan mencabar

Putrajaya: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membuka semula sekolah Isnin ini disifatkan satu tindakan mencabar dan dibuat selepas mengambil kira pandangan serta input diberikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pengalaman mengurus pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketika pembukaan semula sekolah pada Jun tahun lalu memberi input dan persediaan lebih baik kepada KPM untuk melaksanakan pembukaannya pada kali ini.

"Ketika buka sekolah yang pertama dulu, ia tidak mudah sebab kita tidak pernah buka sekolah dalam keadaan pandemik. Sebab itu kita rangka SOP yang lengkap dan SOP ini diperincikan satu persatu.

"Kita juga buat dengan berdasarkan kekangan yang ada di sekolah kerana setiap sekolah masalahnya tidak sama. Kini, sebahagian mereka termasuk murid sudah memahami SOP.

"Cabaran utama kita sekarang adalah berkaitan isu penyuraian. Dalam sekolah ok, ketika hantar anak ke sekolah pun amat tersusun, tapi waktu pulang masih ada yang perlu diperbaiki.

"Kita lihat, kali ini pun ibu bapa juga hanya boleh hantar anak dipagar sekolah, berbeza dengan dulu sampai ke dalam kelas. Saya kagum dengan pematuhan oleh ibu bapa," katanya.

Bagi menjamin masalah penyuraian diselesaikan, KPM mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turun padang meninjau urusan masuk dan pulang murid.

"Kita sudah senaraikan lima model untuk sekolah lihat yang mana paling sesuai. Kalau kata lima ini tidak cukup dan boleh laksana model yang mereka anggap sesuai, tiada masalah. Asalkan apabila murid keluar saja, penyuraian boleh dilaksana dengan teratur," katanya.

KPM sebelum ini mengumumkan sekolah rendah, Kolej Vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing dibuka pada 1 Mac lalu dan Isnin ini.

Kumpulan yang mula bersekolah pada 1 Mac lalu ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula Isnin ini.

Radzi berkata, keputusan membenarkan murid baharu prasekolah dan Tahun Satu mula memasuki sekolah Isnin lalu dibuat bagi membolehkan mereka diberi pendedahan dan masa yang secukupnya memahami SOP di sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM juga sedang berusaha melaksana pemutihan tanah di sekolah di seluruh negara bagi membolehkan kawasan yang lebih mencukupi diberi bagi tujuan rancangan pembangunan sekolah pada masa depan.

"Sebelum ini ada isu membabitkan fasiliti lewat siap dan sebagainya, apabila kita semak antara masalahnya adalah tanah. Kita dapati ada banyak tapak yang perlu diputihkan dan kita sedang laksana perjanjian untuk pemutihan tanah.

"Jadi, jika sampai masa perlu tambah bangunan baharu sekolah, kita boleh laksanakan," katanya sambil menjelaskan KPM juga memfokuskan kepada usaha menyiapkan projek pembinaan sekolah yang terbengkalai.

Menyentuh program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Radzi berkata, penekanan KPM kini untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa menerusi kerjasama dengan Kolej Vokasional, dengan bidang diajar mesti relevan dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa depan.

"Kalau kita guna pendekatan lama untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa nampak sukar. Kalau kita dapat tambah nilai dengan penggunaan teknologi, maka keyakinan ibu bapa akan meningkat dan ia membuka peluang cukup cerah.

"Contoh dalam bidang pertanian, ramai tidak minat sebab pendekatan kita cara lama. Kita akan lihat penggunaan teknologi pertanian. Jadi, bila pelajar keluar dia akan dapat pengetahuan itu. Gambaran jelas mengenai kaedah bagaimana untuk meningkatkan hasil kualiti pertanian, ini yang cuba kita terapkan," katanya.

Berita Harian X