Jumaat, 5 March 2021 | 8:29pm
 Zulkifli (dua dari kanan) pada majlis penyerahan MyHAUS di Kampung Lay Out Tok Saboh, hari ini. - NSTP/ Zatul Iffah Zolkiply
Zulkifli (dua dari kanan) pada majlis penyerahan MyHAUS di Kampung Lay Out Tok Saboh, hari ini. - NSTP/ Zatul Iffah Zolkiply

Isu Sajat, wanita sebar agama Melayu dibincang Isnin

JERTEH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Isnin ini bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam ketika ini.

Beliau berkata, perbincangan itu merangkumi pelbagai isu berbangkit termasuk kontroversi membabitkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat dan seorang wanita yang dikaitkan dengan penyebaran 'agama Melayu' yang bercanggah dengan Islam.

"Bukan isu Sajat saja akan dibincangkan, malah ia membabitkan sebarang isu yang terkait dengan agama Islam, kita akan tengok bagaimana kaedah terbaik dan cari penyelesaian.

"Kita pandang serius dalam hal berkaitan isu agama Islam dan langkah proaktif perlu diambil supaya apa-apa isu berbangkit dapat diselesaikan secara telus.

"Insya-Allah, saya akan duduk semeja dengan JAKIM, JAIS dan JAWI untuk berbincang dan akan ada penyelesaian untuk isu ini," katanya selepas program penyerahan MyHAUS di Kampung Lay Out Tok Saboh di sini, hari ini.

Sajat mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik kenyataan video mahu keluar daripada Islam, manakala umat Islam gempar dengan video tular memaparkan ritual pelik 'agama Melayu' yang didakwa disebarkan seorang wanita menggunakan lafaz ila ha ila ra ila ma dan disambung dengan pengakuan 'aku Melayu' sebanyak tujuh kali.

Berita Harian X