Jumaat, 5 March 2021 | 4:35pm
Antara kit persampelan air liur (deep throat saliva)
Antara kit persampelan air liur (deep throat saliva)

COVID-19: Jangan benar sampel air liur dikumpul di rumah

KUALA LUMPUR: Individu yang menjalani saringan COVID-19 menggunakan sampel air liur (deep throat saliva) masih perlu hadir ke fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberikan sampel itu di bawah pemantauan petugas kesihatan.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berpandangan individu menjalani saringn menggunakan kaedah itu masih belum boleh dibenarkan mengumpul sendiri sampel air liur di rumah jika KKM mahu menggunakan kaedah terbabit.

Katanya, ia berdasarkan beberapa kajian penggunaan sampel berkenaan yang membangkitkan kekhuatiran kemungkinan sampel air liur dikumpul secara salah, sekali gus membawa kepada keputusan 'false negative' terhadap virus COVID-19.

"Banyak kajian pengecaman virus COVID-19 menggunakan air liur memiliki kadar pengecaman tinggi, jadi kaedah ini terbukti boleh mengesan kehadiran virus itu.

"Namun, kajian turut membangkitkan kekhuatiran cara sampel dikumpul. Ini kerana, air liur yang diperlukan adalah jauh di dalam mulut. Jadi individu disaring perlu batuk untuk mendapatkan sampel yang betul.

"Ini kerana, kehadiran virus dalam air liur di bahagian hadapan mulut lebih rendah, berbanding bahagian dalam. Jika cara pengumpulan tidak tepat ia boleh membawa kepada 'false negative'," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, tujuh hospital KKM sudah dikenal pasti untuk melaksanakan penilaian lapangan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati kaedah persampelan air liur memberi keputusan 100 peratus ketepatan dan 96.67 peratus untuk sensitiviti.

Yahya berkata, perbezaan penggunaan sampel air liur dengan calitan tekak dan hidung hanyalah dari segi sampel yang diambil, namun kaedah mengesan virus dalam sampel itu masih sama, iaitu menggunakan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen).

Namun, beliau mengakui penggunaan sampel air liur lebih memudahkan proses saringan kerana lebih selesa, berbanding kaedah calitan di tekak dan hidung yang agak mengganggu, sekali gus menggalakkan orang ramai untuk hadir melakukan saringan.

Selain itu, katanya, saringan menggunakan kaedah terbabit dapat mengurangkan kos kerajaan dari segi sumber manusia dan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE), manakala kos yang kekal hanya dari segi penggunaan RT-PCR atau RTK-Antigen.

"Bagaimanapun, KKM masih belum sesuai membenarkan kaedah ini dibuat di rumah bagi mengelakkan jumlah false negative yang tinggi.

"Pada pandangan saya, lebih baik dibuat di fasiliti kesihatan di bawah pengawasan petugas KKM yang boleh memberi panduan mengenai cara batuk untuk mendapatkan sampel yang betul dan mencukupi.

"Jika mahu benarkan pengambilan sampel air liur di rumah, KKM perlu gariskan prosedur jelas mengenai cara air liur dikumpul kerana kesilapan dalam kaedah ini adalah kerana cara sampel dikumpul, bukan isu ketepatan ujian," katanya.

Berita Harian X