Jumaat, 5 March 2021 | 3:46pm
 Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto fail NSTP
Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto fail NSTP

COVID-19: Ujian air liur lebih berkesan di rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran membenarkan individu membuat persampelan air liur di rumah, jika kerajaan mahu menggunakan kaedah itu dalam ujian saringan COVID-19.

Ujian air liur itu memerlukan individu disaring memasukkan air liur dalam satu bekas, sebelum menggunakan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) untuk mengetahui sama ada sampel itu positif atau negatif terhadap COVID-19, sebelum memaklumkan hasilnya kepada KKM.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata persampelan air liur di rumah akan meningkatkan tahap ketepatan ujian itu, selain harganya jauh lebih murah berbanding ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Beliau berkata, persampelan air liur sendiri di rumah juga membantu KKM menjimatkan sumber tenaga dan kewangan kerajaan yang kini mencecah lebih RM500,000 sehari, membabitkan kos persampelan, ujian di makmal, penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

"KKM perlu buat kajian menyeluruh jika mahu melaksanakan ujian menggunakan sampel air liur, kerana banyak faktor akan mengganggu ketepatan ujian, seperti air diambil mungkin bercampur makanan yang boleh mengubah tahap asid dan alkalinya.

"Namun, jika individu yang mahu disaring dibenarkan buat ujian sendiri di rumah, mereka boleh diminta menggunakan sampel air liur di awal pagi sebaik saja bangun tidur.

"Jika tidak gunakan air liur di awal pagi, saya tidak yakin hasil ujian akan beri ketepatan yang setaraf dengan ujian melalui cara calitan di tekak dan hidung yang digunakan ketika ini.

"Untuk pengambilan sampel air liur di waktu pagi, adalah lebih relevan jika individu disaring melakukannya sendiri, berbanding dilakukan petugas KKM," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, tujuh hospital KKM sudah dikenal pasti untuk melaksanakan penilaian lapangan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati kaedah persampelan air liur memberi keputusan 100 peratus ketepatan dan 96.67 peratus untuk sensitiviti.

Sazaly berkata, kaedah air liur itu dikumpul boleh diajar kepada orang ramai sama ada secara terus, atau menerusi kempen di media massa.

Beliau berkata, kit persampelan air liur itu boleh dibekalkan KKM kepada individu yang menjadi kontak rapat terhadap kes indeks dalam sesuatu kluster dan mereka boleh membuat ujian sendiri pada hari pertama, keempat dan ketujuh atau ke-10.

"Ketika ini, kira-kira 80 hingga 90 peratus sampel diuji setiap hari adalah negatif. Hampir setengah juta ringgit dibelanjakan setiap hari dan kos ini boleh dikurangkan dengan ketara jika persampelan air liur digunakan dan dibenarkan dibuat di rumah.

"Sebagai contoh, kos saringan RT-PCR adalah sekitar RM150 sekali. Saringan air liur menggunakan RTK-Antigen adalah kira-kira RM35, yang boleh digunakan hingga tiga kali.

"Bukan saja sumber kewangan bagi saringan dijimatkan, KKM juga boleh mengurangkan tenaga petugas barisan hadapan yang menjalankan persampelan ketika ini, selain kos PPE yang mereka gunakan," katanya.

Berita Harian X