Jumaat, 5 March 2021 | 3:45pm
Pengerusi MAH Kedah dan Perlis, Eugene Dass menandatangani memorandum mengandungi lima perkara mendesak Perdana Menteri campur tangan menyelamatkan industri pelancongan di Langkawi yang terjejas teruk. - NSTP/Hamzah Osman
Pengerusi MAH Kedah dan Perlis, Eugene Dass menandatangani memorandum mengandungi lima perkara mendesak Perdana Menteri campur tangan menyelamatkan industri pelancongan di Langkawi yang terjejas teruk. - NSTP/Hamzah Osman

23 hotel di Langkawi ditutup akibat pandemik COVID-19

LANGKAWI: Larangan pergerakan rentas daerah dan negeri bagi mengekang pandemik COVID-19 menyebabkan 23 hotel di Langkawi ditutup.

Daripada jumlah itu, lapan adalah hotel bertaraf tiga bintang ke atas, manakala baki 15 lagi membabitkan hotel bajet dan inap desa.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass, berkata penutupan operasi hotel tidak dapat dielakkan berikutan tiada pelancong.

"Keseluruhannya ada 37 hotel di Langkawi berpayung di bawah MAH dan lapan daripadanya terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi.

"Mungkin jumlahnya lebih sebab beberapa hotel yang turut berbuat demikian belum memaklumkan secara rasmi kepada persatuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Langkawi, Datuk Noorazly Rosly, di sini, hari ini.

Terdahulu, mereka hadir pada majlis menandatangani memorandum mengandungi lima perkara mendesak Perdana Menteri campur tangan bagi menyelamatkan industri pelancongan di Langkawi.

Noorazly pula berkata, hanya hotel bajet diusahakan sendiri pemilik mampu bertahan.

"Ini kerana kerja pembersihan, mengemas bilik dan operasi hotel dilakukan sendiri oleh ahli keluarga tanpa perlu mengupah pekerja.

"Jika larangan rentas negeri diteruskan, ramai pengusaha hotel bajet terpaksa mengalah dan beralih ke bidang lain untuk meneruskan hidup," katanya.

Memorandum itu ditandatangani oleh wakil 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili sektor perhotelan, perniagaan runcit dan bebas cukai, produk pelancongan serta pengangkutan.

Antara perkara yang terkandung dalam memorandum itu termasuk, meminta kerajaan mengizinkan pergerakan pelancong dari Zon Hijau ke Langkawi dan subsidi penginapan hotel.

Selain itu, memohon kerajaan melanjutkan pemberian moratorium sehingga 31 Disember ini dan mengurangkan syarat tempoh menginap untuk pelepasan cukai kepada 24 jam, berbanding 48 jam ketika ini.

Turut terkandung, meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan Kementerian Kewangan menerusi pembentangan Bajet 2021 untuk mengenakan cukai ke atas produk rokok dan tembakau mulai 1 April ini.

Berita Harian X