Khamis, 4 March 2021 | 2:12pm

Hantar jemaah haji, kerajaan tunggu keputusan Arab Saudi

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Malaysia akan menghantar jemaah haji tahun ini bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bukan hanya rakyat Malaysia, malah umat Islam seluruh dunia turut menantikan keputusan Saudi berhubung perkara itu.

"Kita sedang berunding dan juga menantikan keputusan daripada pihak Arab Saudi, mereka kini perlu memikirkan masalah COVID-19 dan kebarangkalian yang tinggi mengenai vaksin.

"Kalau dilihat kenyataan mengenai perkara itu sudah ada (syaratnya) tetapi sebagai sebuah kerajaan kita mahu terima satu keputusan rasmi sekiranya ada syarat untuk kita patuhi.

"Bagi pihak kita (untuk mematuhi syarat diberikan), tidak ada masalah. Kita akan bincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) jika ada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Arab Saudi," katanya selepas Majlis Pelancaran Kit Ramah dan Penyampaian Kerusi Roda kepada pesakit hospital di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.

Zulkifli berkata, isu penghantaran jemaah haji itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan dan melihat kepada situasi semasa COVID-19 sama ada ia akan reda atau melandai.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada jemaah haji akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin, Zulkifli berkata, perkara itu terlalu awal untuk dinyatakan.

"Kita perlu bincang satu persatu, untuk saya berikan jawapan adalah terlalu awal. Kita sedang berbincang dan sedang menantikan keputusan Arab Saudi," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji pada tahun ini perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, vaksin COVID-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

Bagaimanapun, Rabiah tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan haji, namun berkata suntikan vaksin adalah syarat utama.

Pada tahun lalu, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada seramai 1,000 orang bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Pelancaran Kit Ramah dan Penyampaian Kerusi Roda kepada Pesakit Hospital di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Pelancaran Kit Ramah dan Penyampaian Kerusi Roda kepada Pesakit Hospital di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X