Khamis, 4 March 2021 | 12:38pm
Dua kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai diarah henti operasi serta merta kerana didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar. - Foto ihsan JAS Pulau Pinang
Dua kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai diarah henti operasi serta merta kerana didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar. - Foto ihsan JAS Pulau Pinang

2 kilang kitar semula plastik sebabkan pencemaran diarah henti operasi

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan dua kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai, di sini menghentikan operasi serta merta kerana didapati menyebabkan pencemaran air, udara dan bunyi.

Arahan itu dikeluarkan semalam di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas JAS negeri membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua kilang terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut diadakan.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya mengadakan pemeriksaan selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung kegiatan dua kilang terbabit yang didapati mencemarkan alam sekitar.

"Siasatan mendapati satu kilang menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Kilang ini menggunakan mesin penghancur plastik dan menghasil resin sehingga menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

"Pada masa sama kilang ini yang mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik juga didapati menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, pemeriksaan JAS ke atas sebuah lagi kilang didapati gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara kotak sembur.

"Melalui siasatan, kilang ini menjalankan operasi pengacuan plastik yang menjadi punca pencemaran habuk hitam ke kawasan berhampiran.

"Oleh itu, kedua-dua kilang ini diarahkan menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan lanjut diadakan pihak JAS sekali gus memastikan pencemaran ini tidak berlaku secara berterusan" katanya.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Orang awam yang ingin membuat aduan atau menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh menghubungi JAS di talian bebas tol di 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X