Selasa, 2 March 2021 | 3:10pm
Fully Chye Goet Lee melihat hasil kerja usahawan kraf sempena Program Meraikan 100 Vendor Online Shop di Platform The Tunku Azizah Handmade Market. - Foto BERNAMA
Fully Chye Goet Lee melihat hasil kerja usahawan kraf sempena Program Meraikan 100 Vendor Online Shop di Platform The Tunku Azizah Handmade Market. - Foto BERNAMA

NGO bantu usahawan kraf pasar produk

KUALA LUMPUR: Kos sara hidup yang tinggi di bandar raya Kuala Lumpur memaksa seorang ibu tunggal Shereen Khoo, 65, melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarganya, termasuk dua anak yang menghidap penyakit autisme.

Bagaimanapun dalam meniti usia emas, tidak banyak kerja berat yang mampu dilakukan oleh ibu kepada empat orang anak itu, melainkan kerja-kerja ringan seperti menjual biskut setiap kali perayaan tertentu, serta kerja penyelenggaraan secara sambilan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Segalanya mula berubah apabila Shereen dipelawa untuk menyertai The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diwujudkan, Februari tahun lalu.

TTAHM yang berada di bawah kendalian Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, ditubuhkan untuk membantu usahawan industri pembuatan kraf tangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian.

Berbekalkan dengan kemahiran menjahit yang ada pada dirinya, wanita cekal itu memberanikan diri menghasilkan lima produk buatan tangan, iaitu tuala muka bersulam, pemegang atau penutup botol air tali bahu, pouch tisu sulaman, rantai kunci burung hantu dan pelitup muka.

"Saya tak sangka yang media sosial sangat berkesan kerana ia membantu melariskan jualan. Saya memang minat menjahit dan gembira apabila produk yang dihasilkan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelanggan, berbanding ketika menjualnya secara fizikal.

"Saya tidak menang tangan apabila menerima sehingga 2,000 tempahan rantai kunci burung hantu dalam tempoh sebulan, selepas menyertai TTAHM Online sejak Disember lalu," katanya, di Subang Jaya.

Goet Lee menggerakkan platform membantu usahawan menjual sendiri produk secara dalam talian. - Foto BERNAMA
Goet Lee menggerakkan platform membantu usahawan menjual sendiri produk secara dalam talian. - Foto BERNAMA

Walaupun mungkin agak sukar bagi wanita berusia sepertinya untuk memahami teknologi, namun ia tidak menjadi penghalang bagi Shereen yang berasal dari Negeri Sembilan, untuk belajar menggunakan media sosial bagi memulakan perniagaan secara dalam talian, demi dua anak lelaki istimewanya, Xiang Wei, 24, dan Xiang Jian, 27.

"Jujurnya, saya memang tidak pandai berniaga secara dalam talian, malah sehingga hari ini saya masih belajar. Namun, saya sanggup untuk belajar apabila sedar yang dua anak lelaki saya turut mempunyai kemahiran menjahit dan saya berharap agar platform ini dapat membantu mereka menjana pendapatan sendiri," katanya.

Shereen antara 100 usahawan kraf yang berdaftar dengan TTAHM, terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan produk yang ditawarkan melebihi 700 unit.

Berkongsi pendapat sama, Nur Aishah Jamaludin, 35, yang berharap agar TTAHM Online menjadi platform khas buat usahawan kraf dalam memasarkan produk mereka, secara lebih meluas sekali gus lebih dikenali di pasaran luar.

"Di luar sana terdapat pelbagai platform e-dagang yang lebih bersifat komersial, namun melalui TTAHM Online, ia hanya mengetengahkan produk buatan tangan yang lebih bersifat eksklusif, iaitu hasil titik peluh daripada pengkarya," katanya yang memasarkan tiga produknya iaitu sleeping pouch, bekas pelitup muka dan tote bag melalui jenama Athena Orange Cat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, Fully Chye Goet Lee, berkata platform TTAHM Online diperkenalkan di www.sewingworld.com.my bagi membantu usahawan kraf yang terkesan dengan pandemik COVID-19, sekali gus bergerak mengikut trend semasa.

Menurutnya, TTAHM Online laluan kepada industri pembuatan kraf tangan untuk melangkah ke hadapan, berdaya saing dan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.

"TTAHM Online bergerak seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) supaya industri jahitan kreatif tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan industri lain, di samping mempunyai pasaran yang lebih besar sehingga ke luar negara," katanya.

Menurut Chye, uniknya platform itu kerana ia hanya memasarkan 100 peratus produk buatan tangan dan bersifat eksklusif, selain turut menawarkan pelbagai latihan bagi meningkatkan kemahiran usahawan kraf, agar mereka boleh berdikari.

TTAHM Online dirasmikan Tunku Azizah pada 27 Februari 2020 dan Raja Permaisuri Agong dijangka meraikan pembabitan 100 usahawan kraf di TTAHM Online esok, secara dalam talian sempena genap setahun penubuhannya.

Pada majlis itu sebanyak 79 mesin jahit juga akan diserahkan kepada pelajar cemerlang B40 jurusan fesyen dan pakaian dari kolej komuniti dan politeknik, selain pengumuman pemenang bagi pertandingan kraf buatan tangan terbaik Malaysia.

– BERNAMA

Berita Harian X